Sejak tujuh hari lalu, Kementerian Kesihatan telah melaporkan purata kes jangkitan Covid-19 sebanyak 99,094 kes. Kadar pengujian semakin menurun meski kadar jangkitan positif yang tinggi. Kadar pengujian yang paling tinggi dilakukan satu hari adalah pada 4 Jun di mana 105,293 kes dilaporkan.
Saya telah mengajukan persoalan tentang rasional menurunkan kadar pengujian semasa PKP di mana kita tahu kes-kes sporadik sedang meningkat, kematian meningkat dan variasi terus merebak, dan ini ternyata membimbangkan. Saat PKP ini mesti dimanfaatkan untuk membendung penularan wabak ini secara proaktif.
Pakar-pakar perubatan juga turut mempersoalkan tentang rendahnya kadar pengujian kita, dan mereka juga percaya bahawa laporan kes harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan yang sebenar.
Logik mengatakan sekiranya kadar positif kes Covid-19 berada pada kadar 7% atau lebih, ia bermakna mengurangkan kadar pengujian akan memberikan gambaran yang salah tentang kes-kes jangkitan Covid-19.
Kesannya adalah lebih ramai yang dijangkiti Covid-19 tidak akan dikuarantin, lebih ramai yang akan menjangkiti yang lain, dan dalam beberapa minggu yang mendatang kita akan dibebankan dengan gelombang kes yang menggila tinggi dan juga kadar kematian tinggi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan 10-30 pengujian untuk setiap satu kes yang telah disahkan. Berdasarkan syor dari WHO ini, kita harus lipatgandakan kadar pengujian.
Saya mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, apakah rasional keraaan untuk tidak meningkatkan kadar ujian sekarang selain hanya untuk menutup kelemahan kerajaan untuk membendung wabak ini dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran yang akan bermula pada bulan Julai atau Ogos ini.
Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan untuk menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.
Dengan pengujian besar-besaran kita akan mendapat gambaran sebenar tentang penularan wabak Covid-19, ambil langkah-langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang.
Saya telah menggesa sejak tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan pengujian dan telah membangkitkannya kembali dalam minggu-minggu kebelakangan ini, namun tidak ada respon dan tindakan pantas dari pihak berwajib.
Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban.
Sebaliknya, kerajaan ini terus berselirat dengan masalah untuk melaksanakan SOP yang mengelirukan dan menyusahkan orang ramai. Sudah 15 bulan kita berdepan dengan ancaman wabak, tapi kerajaan masih menggunakan taktik dan strategi lapuk yang ternyata telah gagal.
Sentimen umum tentang kerajaan gagal adalah kesan langsung dari perencanaan yang tidak bijak dan mengelirukan.
ANWAR IBRAHIM