Menteri Kesihatan kata, “Bila saya mengambilalih KKM, saya buat keputusan untuk pastikan bahawa pengurusan aplikasi MySejahtera dibawa ke KKM sebab saya dapati bahawa selama tempoh pandemik, tiada kontrak antara pihak KPISoft dengan kerajaan”.
Kenyataannya itu juga bermaksud bahawa kontrak rundingan dengan KPISoft/Entomo, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MySejahtera hanya bermula saat beliau menjawat jawatan tersebut pada bulan Ogos 2021, iaitu 16 bulan setelah aplikasi MySejahtera diluncurkan. Maksudnya selama 16 bulan kerajaan bersama dengan KPISoft/Entomo mengawalselia penggunaan dan data aplikasi MySejahtera tanpa sebarang perjanjian.
Sehingga saat ini persoalan tentang pemilikan aplikasi MySejahtera dan datanya terus kabur meski ada cubaan dari pihak menteri untuk menjelaskannya.
Menurut laporan, KPISoft/Entomo adalah 100% milik sebuah entiti Singapura iaitu Entomo Pte Ltd berdasarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Ini membimbangkan tatkala kerajaan Malaysia telah melibatkan entiti asing tanpa kontrak atas tujuan CSR untuk membangun dan mengurus perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat Malaysia.
Saya juga terkejut bahawa Majlis Keselamatan Negara pada bulan April 2020 telah membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi yang sangat penting kepada kepentingan keselamatan negara yang tidak hanya punya akses kepada maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian yang bertulis, tapi mempunyai pemilikan ke atas kerahsiaan dan data aplikasi tersebut.
Dari menjelaskan persoalan-persoalan ini, kabinet kini sedang mempertimbangkan untuk menganugerahkan MySJ Sdn. Bhd. kontrak secara runding terus untuk aplikasi MySejahtera. Menteri Kesihatan gagal untuk menjawab soalan saya tentang tender terbuka dalam hal ini, dan ini membawa maksud terdapat aspek yang tersembunyi dari pengetahuan umum tentang MySejahtera.
Tidak mungkin rakyat akan tahu data apa yang telah disimpan dan bagaimana ia digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu oleh entiti asing ini. Menteri bertanggungjawab dan kabinet boleh saja menafikannya, namun sekiranya mengambilkira bahawa tidak ada sebarang perjanjian yang telus bermula dari bulan April 2020, rakyat Malaysia wajar untuk mempunyai syak wasangka dan berasa bimbang.
Rakyat Malaysia mahu tahu di manakah data itu disimpan? Apakah ia disimpan di dalam persekitaran yang selamat dengan akses yang terhad? Mekanisme apa yang digunapakai bagi mengelakkan pihak ketiga dari mengakses dan mencuri data mereka? Apa jenis perlindungan yang rakyat ada bagi mengelakkan data itu disalahguna yang akan mengakibatkan mereka dianiaya, ditipu dan di-diskriminasi?
Saya kini menggesa sebuah siasatan yang komprehensif oleh Parlimen dimulakan bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera bagi memaknai konsep ketelusan dengan maksud kerahsiaan data peribadi dilindungi dari watak-watak yang tamak yang hanya mahu mencari keuntungan dari data peribadi rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM