Saya ambil maklum laporan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menghampiri ruang udara negara kita pada 31 Mei yang lalu.
Kejadian seperti ini ternyata amat membimbangkan serta menimbulkan kecurigaan dan keresahan terhadap kedaulatan negara serta keselamatan ruang udara kita.
Pujian saya terhadap ketangkasan pasukan TUDM yang segera menggerakkan pemintasan udara dalam mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut.
Saya menggesa Menteri Luar untuk segera laksanakan tugas dengan meminta penjelasan daripada Republik Rakyat China terkait insiden ini.
Saya juga ingin meminta penjelasan lanjut dari kerajaan Perikatan Nasional tentang alasan kebenaran yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) baru-baru ini kerana ini jelas suatu bentuk pengkhianatan kepada negara.
ANWAR IBRAHIM