Carian
April 7, 2021

Kenapa Senyap Kaitan "VIP" Dalam Skandal 1MDB?

Saya bimbang dengan tidak adanya langkah proaktif dari pihak pemerintah dalam memastikan wujudnya keyakinan terhadap sistem kewangan negara.

Malangnya, reputasi serta keupayaan Malaysia akan terus diragui oleh para pelabur serta institusi kewangan dalam dan luar negara kesan dari skandal 1MDB. Ini akan terus memberi dampak buruk pada ekonomi kita yang telah tersedia parah kerana sikap dan kelaku kerajaan PN.

Sehingga sekarang, Bank Negara Malaysia (BNM) belum memberi sebarang penjelasan terkait isu bayaran yang dibuat Jho Low kepada ahli keluarga mantan Gabenor Bank Negara.

Baru-baru ini, seorang pegawai bank yang terlibat dalam skandal 1MDB telah dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan. Pegawai bank yang sama itu juga sedang berusaha memperoleh saham yang besar dalam pelaksanaan penggalangan dana di AmBank melalui syarikat ekuiti swasta di Singapura.

AmBank telah membayar sejumlah RM2.3 bilion untuk penyelesaian terkait keterlibatan institusi bank itu dalam kes 1MDB lebih kurang enam minggu yang lalu.

Sehingga hari ini, rakyat masih belum tahu tentang salahlaku AmBank dalam kes 1MDB. Masa dan keterlibatan pihak tersebut dalam pelaksanaan penggalangan dana di AmBank saat ini amat diragui, terutamanya dalam aspek tetakelola dan ketelusan. Kita juga mahu tahu apakah BNM telah melakukan penelitian yang munasabah bagi memastikan transaksi ini mengikut piawaian yang beretika dan cemerlang.

Para pemerhati akan membayangkan apakah Malaysia akan sekali lagi melahirkan skandal kewangan terbesar berdasarkan fakta-fakta serta sikap Kementerian Kewangan dan BNM. Tanpa fungsi dan peranan Parlimen, amat sukar untuk kita mewujudkan imbangan serta penelitian yang berkesan terkait hal ini.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up