Setelah pimpinan Pakatan Harapan membuat perkiraan yang teliti bersama rakan-rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, ternyata Tan Sri Mahiaddin telah tidak bercakap benar dan telah mengelirukan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam. Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.
Perkara ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Mahiaddin.
Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda.
Tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar. Isu sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin dan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang.
Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan. KDYMM Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat. Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik COVID-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang.
Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok Pembangkang termasuk Ahli-Ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin, iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.
Kami turut memohon agar semua penjawat awam terutamanya badan-badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut Ahli-Ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)