Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksana semula sistem percukaian GST. Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik COVID-19.
Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat.
Pada ketika persepsi tatakelola serta urustadbir Kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah Kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir Kerajaan telah berjaya dilaksana.
Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.
Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihanraya yang lalu.
Oleh itu, Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat.
DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Anthony Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
DSP Wilfred Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)