Carian
August 25, 2021

Pertemuan Bersama Blok Pembangkang Atur Langkah Menuju PRU15

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan bahawa Ketua Pembangkang akan mengadakan satu pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti Pembangkang dalam masa terdekat, termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan Pakatan Harapan di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan Pakatan Harapan berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.

Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September, dengan kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap YAB Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan YB DS Azlina Othman Said.

Fokus Pakatan Harapan adalah ke arah menjadi Pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, selain membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar Kerajaan terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

Pakatan Harapan akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak.

Pakatan Harapan akan pertimbang jemputan Perdana Menteri baru YAB DS Ismail Sabri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 demi memastikan ia dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan Kerajaan semata-mata.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up