Tanggal 12 Rabi’ al-Awwal saban tahun kita mengenang hari keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW, sosok atau tokoh yang menjadi teladan buat umat manusia.
Baginda, yang juga manusia biasa (bashar) seperti kita jelas menjadi bukti bahawa yang terutama dalam hidup ini adalah keluhuran akhlak dan peribadi.
Dianugerahkan pangkat kenabian bererti dibebankan dengan suatu tanggungjawab yang besar. Untuk menyusup ke tengah-tengah masyarakat dan menyampaikan mesej tawhid, menongkah arus norma setempat, serta melancarkan perubahan buat mendobrak sistem jahiliyah yang usang, bukanlah suatu tugas yang mudah untuk diterima oleh sesiapa.
Namun Nabi Muhammad SAW menyanggupi tugas itu. Justeru di sinilah antara lain, letaknya martabat kemuliaan dan semangat juang baginda yang tinggi. Pandangan sarwanya tidak hanya bersifat utilitarian, sebaliknya ada juga sisi keyakinan pada yang Esa yang melampaui segala-galanya. Keyakinan cetusan dhamir inilah yang menjadi teras dalam keimanan seorang Muslim terhadap rencana Tuhannya.
Islah dan taw‘iyyah yang berlangsung selama dua puluh tiga tahun di bawah kepimpinan baginda berhasil membina suatu kekuatan baru yang mandiri dan tidak dapat ditumbangkan.
Pemugaran identiti daripada etos kearaban yang sempit kepada pemusatan tawhid, mencipta sebuah peradaban di jazirah Arab yang kering kontang.
Dalam khutbah haji terakhirnya, baginda telah merumuskan bahawa setiap insan, tanpa mengira agama dan bangsa, adalah sama darjatnya.
Tiada kemuliaan seorang Arab ke atas bukan Arab dan sebaliknya, kecuali atas dasar taqwa. Kesedaran bahawa semua manusia itu berasal dari Adam, dan Adam pula berasal dari tanah menyerlahkan keunggulan nilai dan akhlak Islami yang merentasi jalur kaum dan ideologi.
Justeru sambutan mengenang sosok mulia ini tidak wajar hanya dijadikan sebagai sambutan tahunan, sebaliknya mesti disusuli dengan tindakan hasil penghayatan terhadap ajaran baginda. Semoga kita dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk sentiasa mencontohi baginda Nabi Muhammad SAW.
Allahumma salli wa sallim ala sayyidina Muhammad wa ala alihi wa sahbihi ajma‘in.
ANWAR IBRAHIM