Carian
April 20, 2021

Prestasi Gerak Kerja Vaksinasi Lembab

Setakat hari ini kurang daripada 3 peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

Sementara Menteri yang bertanggungjawab telah menyalahkan negara-negara kaya kerana memonopoli pasaran, sekaligus mengehadkan akses Malaysia terhadap bekalan vaksin, saya telah dimaklumkan bahawa beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan telah berusaha sendiri untuk memperolehi bekalan vaksin yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai respon terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini. Usaha mereka bagaimanapun tergantung lantaran sering dilengahkan oleh Kementerian yang terbabit.

Kelengahan yang mereka hadapi bakal mengundang padah. Dalam Kesatuan Eropah, apabila kadar vaksinasi rendah di tahap 3%, desakan bertubi-tubi daripada rakyat telah cukup untuk mempercepat kadarnya kepada 17.8% dalam masa sebulan. Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru juga bertungkus-lumus mencari jalan buat meningkatkan kadar vaksinasi.

Namun kerajaan PN di sini terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A sampai Z, sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya.
Saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan Kementerian yang ternyata begitu lembab.

Kerajaan negeri Selangor misalannya, terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan 2 juta dos buat rakyat Selangor.

Kerajaan negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan. Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.

Juga turut dilaporkan bahawa vaksin Sinopharm dijangka tiba pada bulan Mei nanti, namun sehingga bulan Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekaligus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian.

Matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin. Namun demikian, kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos.

Yang demikian kerana setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat. Ada juga syarikat-syarikat swasta yang bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi memvaksinkan pekerja dan keluarga mereka, meskipun dengan harga yang mahal.

Ada juga yayasan dan pertubuhan kebajikan yang bersedia menyokong usaha-usaha vaksinasi di kawasan setempat. Terdapat ratusan ribu, bahkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang agar dapat divaksin, sama ada di hospital swasta atau klinik. Jika kini kita menggunakan pendekatan yang melibatkan semua, mengapa tidak kita menfaatkan sumber yang ada secara menyeluruh?

Sekiranya pemain-pemain ini diberikan galakan dan kelulusan yang diperlukan dengan kadar segera, bekalan terhad yang kini dimiliki kerajaan pusat boleh terus disalurkan kepada golongan miskin dan yang terpinggir serta mereka yang amat memerlukannya bagi memastikan akses yang pantas dan saksama kepada vaksin. Dengan itu, kadar vaksinasi kita boleh bertambah dua atau tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar sekarang, yang ternyata begitu lesu.

Justeru saya menuntut dua perkara. Pertamanya, kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.

Keduanya, saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up