Kenyataan Menteri Undang-Undang terkait sikap kerajaan PN yang mahu terus menutup Parlimen menampakkan ketidakarifan beliau terhadap prinsip asas demokrasi.
Menteri tersebut juga menyatakan kerajaan PN sedang memberi ‘keutamaan’ penuh pada usaha mengekang penularan wabak dan akan terus menutup Parlimen.
Kononnya dengan penutupan Parlimen sangat penting dalam usaha melawan wabak, tetapi keadaan makin parah. Kadar warga yang menerima vaksin antara yang terendah di rantau Asia dan kadar jangkitan antara yang tertinggi di Asean.
Sebuah sistem yang menginjak aspek Parlimen adalah sistem diktator, bukan demokrasi. Kedudukan dan maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat sama sekali, dan ini jelas menunjukkan bahawa aspek semak imbang yang dijamin Perlembagaan ini terus dinodai dengan rakus.
Demokrasi mesti tertegak, meski di kala kemelut. Suara rakyat tidak boleh dipadam oleh para petinggi yang rakus dan gila kuasa.
Kenyataan bijaksana YDPA bertarikh 26 Februari yang lalu bahawa kuasa darurat yang diperuntukkan pada kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak sesi Parlimen.
Kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan darurat setakat ini tidak memberi dampak yang positif dalam usaha kita melawan wabak. Sebaliknya, ianya digunakan untuk membungkam wartawan dan media, serta memberi kuasa pada kerajaan ini untuk menggunakan dana awam tanpa hormat pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pada Parlimen. Menggunakan hampir 50% dana dark Kumpulan Wan Amanah Negara (KWAN) untuk pemerolehan vaksin sebagai contoh.
Terdapat banyak hujah yang menampakkan pemerintah hari ini sedang meminjam dan berbelanja tanpa semak imbang, dan ini menjadi sebab ampuh mengapa Parlimen sebagai fungsi dan institusi yang dijamin Perlembagaan mesti diberi ruang untuk menjalankan amanah rakyat.
Kita tidak nampak sebarang tanda bahawa darurat ini akan tamat dalam masa terdekat. Dengan peningkatan kes penularan COVID-19 hari ini ianya akan memberi alasan kepada kerajaan PN untuk melanjutkan tempoh darurat melepasi bulan Ogos 2021. Saya yakin inilah matlamat sebenar pemerintah; memperpanjang tempoh darurat selama mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi.
Dengan kadar vaksinasi yang ternyata rendah saat ini, saya bimbang dan yakin tidak akan ada sidang Parlimen untuk tahun ini.
Prestasi Malaysia akan terus tercorot dengan masalah pengangguran tanpa reformasi ekonomi yang menyeluruh. Persaingan di rantau ini dalam mendapatkan investasi asing nampaknya akan terus meletakkan Malaysia di barisan belakang.
Sikap kerajaan ini yang terus berhutang dan berbelanja tanpa semak imbang akan memberi dampak buruk kepada generasi akan datang.
Ekonomi tidak akan mampu pulih bilamana keyakinan kepada kerajaan dan kebijakannya tidak wujud, serta prinsip negara hukum terus diinjak tanpa belas.
ANWAR IBRAHIM