Sesi perbicaraan di New York telah tamat dalam tempoh yang singkat. Pihak defendan tidak dibenarkan atau tidak dikurniakan layanan VIP dari pihak mahkamah untuk mengurus hal peribadi, mahupun diberikan akses kepada pasport untuk ke mana-mana tempat yang bukan mustahak.
Selalunya untuk bermain golf. Di Malaysia, seorang tokoh VIP yang juga seorang defendan mendapat layanan yang cukup istimewa dari mahkamah. Maknanya, ada dua jenis peraturan di Malaysia - untuk yang kaya begini, dan orang lain begini.
Pengakuan bersumpah oleh saksi-saksi dengan secara menyeluruh menghapus dakwaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Malaysia bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku di Terengganu Investment Authority, dan kemudian 1MDB. Malah, gejala rasuah telah mula mengakar sejak hari pertama, dan berlanjutan terus kerana sistem yang ada ini terlalu rosak dan bobrok.
Setiap sosok yang cuba untuk menghentikan kegilaan ini dari berlaku hampir pasti menemui kegagalan. Sebagai mantan Menteri Kewangan, saya yakin jumlah dana yang sebegitu besar dengan potensi risiko yang begitu besar terhadap kewangan negara tidak akan boleh melepasi pengawasan dan penelitian negara tanpa tangan dan peranan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Rakyat Malaysia berhak marah dan sangat kesal dengan watak-watak yang punya kuasa yang mampu untuk menghentikan rompakan ini dari berlaku. Namun, ternyata mereka bungkam dan benarkan ia berlaku.
Terdapat banyak jaminan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas. Namun, sehingga kini ia belum terhasil. Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihanraya umum yang lepas. Berapa banyak peluang telah terlepas untuk mengheret para konspirator 'scam' ini ke muka pengadilan? Saya tidak akan berdiam diri selagimana mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia.
Seorang pegawai dari Goldman Sachs telah disabitkan dengan jenayah dalam skandal 1MDB. Untuk menyebut bahawa keadilan telah ditegakkan sangat tidak jujur. Kenyataan para saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang.
Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia. Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam 'scam' ini, saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambilkira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia.
Sekalung penghargaan kepada pihak pendakwaan di Eastern District New York atas usaha dan upaya mereka dalam mengheret salah seorang dalang skandal 1MDB.
Sekarang kita mahukan keadilan untuk rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM