Carian
April 29, 2022

Tahap Perlindungan Data MySejahtera Belum Diperincikan Menteri Kesihatan

Kebimbangan yang saya dan rakan-rakan utarakan sebelum ini di Parlimen berhubung jaminan oleh Menteri Kesihatan tentang pengurusan data aplikasi MySejahtera kini diperkukuh tatkala Pengerusi PAC juga mengakui terdapat kekeliruan tentang bagaimana data dikumpul sejak dua tahun lalu. Laporan itu ternyata merobek keyakinan rakyat terhadap menteri bertanggungjawab. Namun, kini yang menjadi persoalan adalah status data-data peribadi pengguna, keselamatan negara dan juga reputasi menteri tersebut.

Siasatan yang dijalankan PAC setakat ini, beserta dengan hasil siasatan dan kajian saya sendiri membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya tidak mempedulikan aspek ketelusan dan memiliknegarakan aplikasi MySejahtera melalui pembangunan, tetapi kerajaan juga turut membenarkan individu-individu yang dekat dengan pundak kuasa untuk mengaut laba dan keuntungan.

Kita sedia maklum bahawa aplikasi ini adalah langkah yang sangat diperlukan sebagai usaha dan upaya negara dalam mengekang perebakan wabak yang kini telah meragut lebih 35,500 nyawa, dan ini melibatkan data peribadi lebih 38 juta warga. Yang lebih merungsingkan adalah data-data peribadi tersebut kini terdedah kepada entiti asing.

Rakyat seolah-olah dikelirukan dengan jaminan menteri berkaitan server di mana data MySejahtera disimpan. Tanpa kontrak dan perjanjian yang jelas, janji menteri tentang perjanjian kerahsiaan (NDA) tidak memberi sebarang makna yang munasabah. Apa yang mustahak sekarang adalah kerajaan mesti membuktikan bahawa data-data tersebut telah dan akan terus disimpan oleh server-server kerajaan sahaja.

Pengumpulan data oleh mana-mana organisasi atau kerajaan tanpa objektif yang jelas hanya mendedahkan data-data tersebut untuk disalahguna, dan ini membuktikan sikap sambil lewa di pihak pengumpul data.

Saya kini menggesa menteri untuk membuktikan bahawa data-data peribadi rakyat Malaysia tidak terdedah kepada kepentingan dan tangan-tangan gelap, samada di dalam mahupun di luar negara. Pemerintah mesti melakukan sedaya upaya mereka untuk mengelakkan sebarang kecuaian, dan dalam masa yang sama mesti mengukuhkan pendirian bahawa data-data tersebut milik rakyat, dan bukan kerajaan. Kementerian Kesihatan (KKM) juga mesti membenarkan audit dan data forensik dijalankan.

Saya juga berharap agar PAC terus menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara ini, termasuk memanggil entiti-entiti swasta yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan data, termasuk pakar-pakar teknikal untuk menjejaki di manakah sebenarnya lokasi server yang menyimpan data-data peribadi rakyat Malaysia. PAC juga mesti menyiasat mekanisme runding terus yang digunapakai dalam membangunkan aplikasi MySejahtera agar kesan negatifnya dapat ditampan di masa hadapan.

Sebagai negara yang pernah dijajah, kita mesti tidak harus berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk penjajahan. Kerajaan mesti segera menghentikan pengumpulan data dari aplikasi MySejahtera sehingga mereka dapat memberikan jaminan ke atas tahap perlindungannya.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up