Majlis Presiden Pakatan Harapan amat risau dengan peningkatan mendadak kes-kes positif COVID-19 di hampir setiap negeri dalam negara kita yang kini mencecah lebih 7,000 kes tiga hari berturut-turut, disamping jumlah katil ICU yang semakin tidak mencukupi untuk menghadapi kes-kes kritikal.
Kami juga amat sedih menerima berita bahawa kadar kematian sangat tinggi setiap hari, terutama tiga hari terakhir yang mencatatkan kematian lebih 60 orang setiap hari.
Majlis Presiden mengutuskan ucapan takziah buat semua keluarga yang telah kehilangan orang tersayang akibat wabak COVID-19 ini.
Kes harian COVID-19 yang melonjak sejak Darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup jelas menunjukkan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional untuk menangani COVID-19 dengan sendirinya. “Lockdown” kendiri politik ini sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional yang kehilangan majoriti Parlimen.
Malangnya “lockdown” kendiri politik ini tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang telahpun memburukkan pandemik COVID-19 sepertimana yang dipersetujui juga oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang Azlina Othman Said hari ini. Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden menggesa semua Ahli Parlimen untuk bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula.
Pada masa yang sama, Majlis Presiden turut mengambil maklum kemarahan rakyat terhadap isu Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang mengelirukan, sering bertukar-tukar atau “U-turn”, dan penguatkuasaan ‘Antara Dua Darjat’ berbeza di antara VIP dan rakyat biasa.
Majlis Presiden turut mengambil maklum kadar pemberian vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac masih belum mencapai kadar yang dijanjikan kerana dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan, isu pemberian vaksin termasuk dos vaksin AstraZeneca yang tidak mencukupi, serta isu pendaftaran yang amat menyukarkan rakyat sungguhpun RM70 juta telahpun dibelanjakan untuk system laman web.
Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan terutama apabila keperluan dana RM5 bilion telahpun tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen, untuk kos pembelian dan pelaksanaan.
Majlis Presiden turut menggesa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mempercepat kelulusan vaksin-vaksin Sinopharm, Sputnik V dan Moderna agar sasaran imunisasi kelompok dapat dicapai dengan lebih pantas. Ini memandangkan vaksin Sinopharm telah menerima kelulusan WHO, dan Sputnik V serta Moderna telah mula diguna di pelbagai negara.
Sejak Darurat berkuatkuasa pada 11 Januari 2021 hingga ke hari ini, walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius.
Kerajaan Perikatan Nasional telah gagal.
Oleh itu, Majlis Presiden menegaskan melalui wakil Pakatan Harapan di dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bahawa Darurat ini bukan sahaja tidak perlu dipanjangkan lebih dari 1 Ogos 2021, malahperlu ditamatkan segera. Parlimen harus bersidang segera untuk memulihkan demokrasi. Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, Pakatan Harapan terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam Jawatankuasa tersebut, atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai “pelitup muka” untuk mengiakan segala penggunaan kuasa Darurat yang mengetepikan Parlimen.
Strategi menangani COVID-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula (realignment), dan Majlis Presiden telah mengarahkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pakatan Harapan yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar-dasar yang diperlukan untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat(KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara(AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik(DAP)