Baru-baru ini, YB Lee Chean Chung (ADUN Semambu) telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai kemerosotan nilai Ringgit Malaysia dan implikasinya terhadap majoriti rakyat biasa.
Saya sebagai seorang wakil rakyat dan juga mewakili majoriti rakyat sangat bersetuju dengan kenyataan beliau. Ini kerana sepertimana dijelaskan dalam kenyataannya apabila nilai Ringgit merosot, rakyat kita sengsara disebabkan kenaikan harga barangan keperluan harian. Negara kita sudahpun memasuki fasa inflasi, ada juga penubuhan "Pasukan Jihad Tangani Inflasi" oleh Tan Sri Annuar Musa. Apakah tanggungjawab dan fungsinya jika gagal mengawal kadar inflasi dengan pengumuman kenaikan kadar OPR tiga kali secara berturut-turut?
Sebagai jiran kepada negara Singapura, majoriti bakat tempatan terutamanya anak muda kita migrasi ke negara tersebut hanya kerana nilai Dolar Singapura tiga kali ganda beruntung kepada mereka yang mencari nafkah di sana. Namun bukan semua yang dapat pekerjaan di sini.
Saya juga sangat terhibur dengan kenyataan Menteri Besar Johor Dato Onn Hafiz yang tidak bertanggungjawab langsung apabila beliau mengatakan kesusutan nilai ringgit manfaat kepada rakyat apabila pelancong dari Singapura akan berbelanja lebih di Johor berbanding dulu. Kononnya, fikir dari sudut positif tetapi disebaliknya Yang Berhormat Menteri hanya menjadi orang ikutan sahaja dengan tiada pendirian demi rakyat. Secara terang lagi bersuluh, ia sudah menunjukkan implikasi buruk terhadap ekonomi negara.
Menteri Besar Johor perlu bersikap lebih rasional dan peka terhadap masalah rakyat Johor secara keseluruhan. Kenaikan harga barangan keperluan harian masih lagi tinggi bagi rakyat tempatan kita. Jangan berfokuskan kepada manfaat peniaga sahaja. Rakyat biasa yang bekerja sebagai pekerja kilang/pemandu Grab/Rider FoodPanda tetap berkesan dengan kemerosotan nilai ringgit yang baru-baru ini. Merekalah golongan majoriti yang terdiri daripada rakyat Malaysia.
Jadi apakah nasib rakyat Malaysia yang bekerja di negara kita? Menteri Kewangan Tengku Zafrul juga perlu menjelaskan apakah langkah-langkah proaktif yang dirangka bagi membantu negara kita supaya tidak terkesan sangat dalam kemerosotan nilai Ringgit.
Kuasa beli rakyat di luar negara atau pelancong Malaysia berkurang dengan penurunan nilai mata wang Malaysia. Perbelanjaan yang lebih mesti dikeluarkan untuk bercuti atau hidup di luar negara kerana kuasa membeli barangan di luar negara adalah berkurang. Segala barangan import yang dijual dalam Malaysia akan menjadi lebih mahal kerana Malaysia akan mengeluarkan lebih nilai wang untuk membayar harga barangan tersebut disebabkan nilai tukaran ringgit yang jatuh.
Bukan itu sahaja sebagai anak muda, saya juga khuatir akan kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh golongan mahasiswa/i yang menuntut ilmu di luar negara. Kejatuhan nilai ringgit memberikan kesan yang ketara kepada mahasiswa yang menuntut di luar negara. Jumlah wang saku mereka akan mengecil dan terbeban untuk membayar yuran pengajian.
Persoalan-persoalan yang diajukan kepada Menteri Kewangan kita oleh YB Lee Chean Chung adalah sangat munasabah. Menteri Kewangan tidak boleh bersembunyi daripada persoalan seperti ini yang rasional dan rakyat makin hari, makin cerdik. Ahli-ahli politik yang memimpin kerajaan perlu memberikan penjelasan dan bukan memutar belit di hadapan lensa kamera.
Kerajaan perlu lebih bertindak aggresif mulai sekarang untuk negara kita bangkit kembali daripada kemerosotan ini. Dalam kenyataan YB Lee Chean Chung telah mencabar Menteri Kewangan Tengku Zafrul untuk memberi penjelasan terhadap implikasi kenaikan harga barang keperluan harian, kadar palaburan asing yang tiada peningkatan sejak tahun 1998 dan kemerosotan nilai Ringgit selama 20 tahun yang lalu.
Adakah Menteri Kewangan Tengku Zafrul berani menyahut cabaran YB Lee Chean Chung untuk memberikan penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan?
Jangan main sorok-sorok bersama rakyat dan berani tampil menjawab persoalan-persoalan rakyat.
YB TUAN ARTHUR CHIONG SEN SERN
ADUN BUKIT BATU