Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Bencana banjir yang melanda Disember 2021 telah banyak memberi iktibar perlunya persediaan rapi bagi menghadapi impak pasca banjir. Ini berikutan keadaan ketika itu cukup menginsafkan dan menuntut persediaan rapi bagi mengelakkan berlakunya situasi tidak diingini terutama berkaitan mobilisasi agensi berkaitan dalam memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan bantuan selepas air surut.
Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu hadapan selain peruntukan khas bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas dalam persiapan menghadapi bencana banjir.
Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Negeri Selangor melihat langkah ini adalah cukup tepat dan membuktikan kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kegilaan sesetengah parti politik yang rakus merebut kuasa mendesak Pilihanraya diadakan secepat mungkin.
KEADILAN Selangor juga akan menggerakkan kekuatan anggota di 22 cabang seluruh negeri bagi memastikan sukarelawan parti membantu agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memudahcara urusan pengagihan bekalan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terlibat di PPS selain urusan membersihkan kediaman yang terkesan.
Marilah kita bersama-sama berusaha melakukan setiap langkah pencegahan dan berdoa semoga seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya dipermudahkan urusan dalam mendepani bencana.
Azmizam Zaman Huri
Pengarah Komunikasi
Parti KEADILAN Rakyat Negeri Selangor