August 11, 2025

Jangan Mengapi-apikan Sentimen Kebencian Dalam Kalangan Rakyat

Bendera Malaysia adalah lambang negara. Tiada alasan untuk memasangnya secara terbalik. Tindakan tegas yang setimpal wajar diambil oleh pihak berkuasa terhadap pesalah, dengan mengambil kira niat asal mereka. Sebarang kesilapan pula harus diberikan ruang untuk diperbetulkan.

Jalur Gemilang melambangkan semangat, perjuangan dan perpaduan rakyat Malaysia. Pemasangan bendera kebangsaan oleh rakyat dalam bulan kemerdekaan mencerminkan semangat patriotik serta kesetiaan terhadap negara. Niat murni ini harus dihargai dan disambut baik oleh semua pihak.

Jangan ada pihak yang menangguk di air keruh. Kita mempunyai undang-undang dan pasukan penguatkuasa yang berperanan memastikan isu ini ditangani sewajarnya. Tidak perlu ada individu yang cuba menjadi ‘hero’ dengan mengapi-apikan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat.

Tindakan keterlaluan segelintir pihak boleh menyebabkan orang ramai berasa takut atau enggan memasang Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan. Ini akan melunturkan semangat patriotik dan merugikan negara.

Sempena bulan kemerdekaan yang mulia, saya menyeru semua ahli politik memikul tanggungjawab untuk memupuk perpaduan rakyat, bukan memecah-belahkan kita.

Related Posts
crossmenuchevron-up