Carian
June 25, 2021

Kerja-Kerja Penyelenggaraan Kolam Renang Harus Dibenarkan

Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membenarkan kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang kawasan kediaman berstrata dijalankan.

Menurut maklumat yang dibekalkan oleh pihak pengurusan kediaman strata dan kontraktor, permohonan untuk kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang sepanjang tempoh PKP 3.0 ini tidak dibenarkan. Alasan yang diberi adalah mereka tidak dikategorikan sebagai sektor kritikal, sedangkan sektor ini dibenarkan beroperasi semasa PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Kolam renang komersial memerlukan lebih kurang 3 kali penyelenggaraan dalam tempoh seminggu. Sekiranya kerja penyelenggaraan tidak dilakukan lebih daripada seminggu, alga akan mula bertumbuh dan air akan tercemar. Tanpa penyelenggaraan, kolam renang juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk lalu menimbulkan isu kesihatan yang lain.

Selain itu, kalau penyelenggaraan berkala tidak dijalankan, kerosakan alatan akan memberi implikasi kewangan yang berat kepada pemilik atau pihak pengurusan. Contohnya, strainers akan dipenuhi daun dan menyebabkan pam peredaran nyahfungsi. Penggantian pam peredaran di sekitar RM2 ribu hingga RM12 ribu. Air kolam juga perlu dilepaskan dan diisikan semula, kos terlibat kira-kira RM6 ribu hingga RM8 ribu.

Lih Kang menyeru KPKT agar bersikap rasional dan menggubal dasar secara saintifik. Penyelenggaraan kolam renang hanya melibatkan beberapa orang pekerja, tanpa penglibatan pengguna kolam renang atau orang awam. Justeru itu, kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang sepatutnya dibenarkan sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

Tambahan pula, KPKT telahpun membenarkan sektor Kredit Komuniti dan Pemberi Pinjam Wang (yang pasti akan melibatkan orang ramai) untuk beroperasi sebagai perkhidmatan perlu di bawah Kluster Kerajaan Tempatan. Maka, tiada alasan kenapa kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang tidak dibenarkan beroperasi.
CHANG LIH KANG
Ahli Parlimen Tanjong Malim
Jurucakap Parlimen Keadilan (Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur)

Related Posts
crossmenuchevron-up