
Setelah Mohamed Nazri Abdul Aziz keluar kenyataan bahawa Anwar Ibrahim adalah pemimpin paling layak untuk terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-11. Perikatan Nasional (PN) terus rasa panas .
Walaupun Setiausaha Politik Presiden PAS Mohd Syahir Che Sulaiman dakwa PN ramai calon yang layak, tapi sehingga kini PN masih gagal menamakan calon Perdana Menteri mereka.
Syahir Sulaiman boleh terus mengkritik kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim, tetapi adakah dia mampu menjawab satu soalan mudah – siapa calon Perdana Menteri dari PN?
PAS sendiri pernah menolak Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal Perdana Menteri PN. Tahun lepas, Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS, secara terbuka menyatakan bahawa PAS tidak menerima Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Jika dalam PN sendiri mereka tidak boleh sepakat tentang siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, rakyat tidak dapat membuat perbandingan antara calon tersebut dengan Anwar Ibrahim, bagaimana rakyat boleh percaya bahawa mereka mampu mentadbir negara dengan baik?
PAS sebagai parti terbesar dalam PN tak perlu takut Bersatu, PAS berhak menamakan calon PM dari PAS.
Syahir Sulaiman dan pemimpin PN boleh cuba mengelirukan rakyat, tetapi mereka tidak boleh menyembunyikan hakikat perpecahan di dalam PN semakin nyata, dan mereka tiada kepimpinan yang berwibawa untuk menerajui negara.
Sepanjang lebih dua tahun mentadbir, Anwar Ibrahim telah membuktikan keupayaannya dalam membawa reformasi dasar negara demi kesejahteraan rakyat. Fokus beliau adalah meningkatkan taraf ekonomi negara, membasmi kemiskinan, dan memastikan pertumbuhan yang lebih mampan serta inklusif. Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia kembali dihormati di peringkat antarabangsa dan berada di landasan ekonomi yang lebih kukuh.
Sebaliknya, di bawah pentadbiran PN sebelum ini, ekonomi negara semakin merudum, ketidakstabilan politik berleluasa, dan negara dipandang lemah di mata dunia. Sekarang, mereka mahu berlagak sebagai alternatif yang lebih baik, tetapi calon PM pun tak boleh namakan.
Saya mencabar Syahir Sulaiman dan PN untuk berhenti berselindung di sebalik propaganda kosong dan menamakan seorang calon Perdana Menteri mereka yang lebih layak daripada Anwar Ibrahim.
Chua Wei Kiat
ADUN Rawang
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN