Carian
November 25, 2024

Perpecahan dalam PN: Ketiadaan Kepimpinan dan calon yang berwibawa untuk negara

Perpecahan dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) semakin ketara apabila Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dan mendakwa PAS lebih layak memimpin PN. Kenyataan ini tidak hanya melemahkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, tetapi juga mendedahkan ketiadaan kepercayaan di antara parti-parti komponen dalam PN.

Tindakan ini menimbulkan persoalan: siapakah calon Perdana Menteri yang dicadangkan oleh PAS? Jika PAS menolak Muhyiddin, adakah mereka mempunyai calon alternatif yang berwibawa dan layak untuk mentadbir negara? Atau adakah kenyataan ini hanya membuktikan bahawa PN sebenarnya tidak mempunyai sesiapa yang berkaliber untuk diangkat sebagai pemimpin negara?

Lebih bermasalah apabila terdapat dakwaan bahawa PN cuba menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada individu dari BN. Taktik sebegini hanya menunjukkan bahawa PN tidak mampu melahirkan pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Ini adalah bukti jelas bahawa PN kini berada dalam keadaan terdesak.

Ketidakmampuan PN untuk menyelesaikan isu dalaman mereka menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan mereka untuk mentadbir negara. Jika mereka tidak dapat menyatukan parti-parti komponen mereka sendiri, bagaimana mereka boleh diharapkan untuk memimpin negara dengan stabil dan berkesan?

Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan terus menunjukkan komitmen untuk membangunkan negara dan memperjuangkan kebajikan rakyat. Di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, kita telah melihat pelbagai dasar progresif yang dirangka untuk merancakkan ekonomi, meningkatkan kebajikan sosial, dan membina masa depan yang mampan untuk semua rakyat Malaysia.

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menilai kepimpinan PN secara kritikal. Perpecahan yang berlaku dalam gabungan tersebut membuktikan bahawa mereka tidak mampu menawarkan kestabilan mahupun hala tuju yang jelas untuk negara. Rakyat tidak boleh terperangkap dalam permainan politik yang hanya mementingkan perebutan kuasa tanpa memikirkan masa depan negara.

CHUA WEI KIAT

TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN

ADUN RAWANG

Related Posts
crossmenuchevron-up