Carian
June 15, 2021

Apa Strategi MITI Untuk Selamatkan Perusahaan Kecil Dan Sederhana Dari Gulung Tikar?

Saya merujuk laporan akhbar mengenai amaran yang dikeluarkan oleh SME Association of Malaysia bahawa 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) bakal gulung tikar adalah satu lagi manifestasi kegagalan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perkembangan ini nyata membimbangkan apatah lagi setelah mengambil kira laporan bahawa 100,000 SME sudah menghentikan operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

SME adalah sektor yang menyumbang hampir 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 50% dari jumlah pekerjaan dalam negara juga adalah dari  sektor SME.

Persoalannya, apakah MITI tidak sedar tentang kepentingan sektor SME kepada ekonomi dan pekerjaan negara? Kegagalan MITI untuk menyediakan strategi bagi mengharungi krisis ekonomi dampak pandemik COVID-19 ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Dengan mengambil kira kepentingan SME kepada ekonomi terutama dalam memastikan sumbangan berterusan mereka di fasa pemulihan pasca-pandemik COVID-19, saya menggesa menteri bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera seperti berikut:

(i) Memperkenalkan skim subsidi gaji untuk para pekerja dalam sektor SME bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas;

(ii) Mewartakan moratorium automatik ke atas pinjaman bank bagi syarikat-syarikat di bawah sektor SME dan;

(iii) Menyediakan dan memaklumkan segera pelan pemulihan bagi syarikat-syarikat dalam sektor SME yang terjejas.

Strategi dan pelan menghadapi krisis ini tidak harus tertumpu kepada pemberian permit operasi semata-mata tetapi perlu merangkumi segala aspek bantuan dan strategi fiskal supaya sektor penting ini dapat kembali bernafas dan tidak gulung tikar.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up