Carian
July 12, 2021

#CODEBLACKMY

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan Kementerian Kesihatan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menangani dan menyelesaikan masalah kontrak kalangan pekerja penjagaan kesihatan di seluruh negara termasuk doctor, farmacist, doctor gigi dan lain-lain untuk kepentingan mereka dan juga keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

Pandemik COVID-19 ini telah membuktikan betapa pentingnya kita melakukan sesebuah pembaharuan radikal dan meningkatkan peruntukkan untuk system kesihatan kita bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga tenaga kerja untuk menjamin khidmat kesihatan terbaik di seluruh negara.

Kita sentiasa memerlukan doktor dan pekerja kesihatan dan jumlah dalam negara jelas tidak mencukupi. Walaupun nisbah doktor kepada rakyat adalah pada 1:454, ia masih tidak cukup dan kalau kita lihat secara lebih terperinci, penempatan perkerja kesihatan adalah tidak sekata - ramai tertumpu di kawasan bandar dan kita ada kekurangan di kawasan luar bandar. Berdasarkan rekod yang ada sejak 2016, hanya 789 atau 3.4 peratus pegawai dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Oleh itu, tawaran terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melanjutkan lantikan doktor kontrak sehingga Disember 2022 bukan jalan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka panjang sektor perubatan negara. Ia tidak akan selesaikan masalah doktor kontrak sekiranyanya tidak ada tindakan susulan.

Sistem doktor kontrak diperkenalkan pada 2016 sebagai langkah sementara untuk penempatan doktor pelatih sehingga mereka tamat tempuh khidmat wajib. Setakat ini seramai 23,000 doktor kontrak telah diambil dan sebahagian kecil, iaitu, 789 orang daripada mereka yang diberi lantikan tetap. Langkah baru perlu diambil untuk memberi ruang kepada doktor kontrak dilatih sebagai doktor pakar dan juga memberi kerjaya yang terjamin.

Doktor pakar dilatih melalui program MASTER OF MEDICINE di universiti tempatan ataupun ‘PARALLEL PATHWAYS’ melalui institusi luar negara. Program ini mengambil masa sekurang-kurangnya 4-6 tahun untuk melatih setiap doktor pakar. Program latihan ini memastikan doktor pakar mencukupi untuk negara kita. Di samping itu, doktor-doktor tersebut juga memberi khidmat yang penting semasa latihan sebagai doktor pakar.

Mengikut dasar sedia ada, program latihan pakar tersebut hanya boleh disertai oleh golongan doktor lantikan tetap sahaja melalui Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan mencadangkan agar langkah berikut diambil:

1. Kementerian haruslah memastikan proses penilaian dan pemilihan untuk lantikan tetap dibuat dengan adil, telus dan berdasarkan merit. Kriteria untuk lantikan tetap juga haruslah dijelaskan secara terperinci dan telus untuk kebaikan pekerja-pekerja kesihatan kita untuk mengurangkan persepsi ketidak-adilan yang mungkin berlaku semasa prose pemilihan lantikan tetap.

2. Doktor kontrak harus diberi peluang yang sama seperti doktor lantikan tetap untuk menerima HLP dan menyertai program Master of Medicine atau PARALLEL PATHWAYS. Ini dapat dilakukan melalui satu keputusan Kabinet dan perubahan polisi dalaman.

Doktor kontrak yang terima HLP juga harus diberi lantikan kontrak yang panjang sehingga melengkapi program latihan pakar dan seterusnya memenuhi kewajiban kontrak di bawah HLP.

3. Pekerja kesihatan kontrak haruslah diberikan layanan yang adil dan saksama seperti pekerja kesihatan lantikan tetap kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan beban kerja yang sama serta menghadapi risiko jangkitan yang sama di tempat kerja mereka. Ini termasuk gaji, cuti tugas khas dan lain-lain.

Untuk pelan jangka masa yang panjang, kerajaan harus mengkaji semula keperluan sumber manusia keseluruhan dalam sektor kesihatan termasuklah doktor, doktor pakar, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu, dan seterusnya merangka dasar baru untuk memastikan bekalan yang sepadan.

Sepanjang pandemik Covid-19 ini, kita dapat melihat bagaimana pengorbanan semua perkerja kesihatan kita termasuk pekerja kontrak. Mereka adalah wira negara yang bukan sahaja haruslah mendapat sokongan dan sanjungan dari semua pihak, tetapi lebih penting haruslah diberikan layanan yang lebih saksama dan juga kestabilan dalam kerjaya mereka.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan :-
YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)
YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, KEADILAN)
YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi, DAP)
YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Ahli Parlimen Lumut, AMANAH)
YB Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP)
YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru, KEADILAN)
YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang, DAP)
YB Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kerajaan Negeri Selangor)
YB Dr Norlela Ariffin (EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
YB Veerapan Supramaniam (EXCO Kerajaan Negeri Sembilan)
YBhg Dr Niekmah Adam (Angkatan Wanita Amanah Negara, AMANAH)
YBhg Dr Zaliha Mustafa (Majlis Pimpinan Pusat, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up