Saya terima baik pemberian vaksin kepada pengamal media yang bermula 9 Jun. Walau bagaimanapun, jumlah 100 dari 5,000 pengamal media masih terlalu kecil dan lambat.
Saya juga mengambil maklum kenyataan badan-badan pengamal media termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm), yang umumnya menggesa proses ini dipercepat.
Saya sebenarnya amat terkesan apabila warga media terpaksa meluahkan perasaan mereka dengan menggunakan tanda pagar #CucukMyPress untuk mendapat layanan segera dari Kerajaan. Pengamal media tidak patut dianak tiri. Mereka adalah sebahagian dari barisan hadapan - mereka lah pasukan yang berada di lapangan, merakam dan melaporkan segala berita setiap hari dalam usaha kita membendung penularan wabak COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok.
Setiap kali mereka meninggalkan rumah untuk membuat liputan dalam keadaan mereka belum diberi vaksin, ia menjadi risiko kepada diri, rakan sekerja malah juga keluarga mereka.
Sepatutnya proses vaksinasi bagi kumpulan ini bermula sewaktu Fasa 1 (24 Februari ke 18 April) bersama kumpulan barisan hadapan yang lain. Saya kesal akan kegagalan Kerajaan dalam hal ini.
Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya menggesa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk memberi penjelasan mengapa pengamal media tidak termasuk dalam senarai Fasa 1 pemberian vaksin.
Saya juga menggesa CITF untuk memberi jaminan bahawa semua organisasi media akan diberi layanan segera yang sama, serta dipastikan pemberian vaksin di kalangan petugas media diberi secara adil. Jangan ada keadaan di mana hanya sesetengah media sahaja yang menerima vaksin, manakala ada media lain yang langsung belum menerima.
Menteri Komunikasi dan Multimedia juga mesti beri penjelasan bila tarikh tepat kesemua 5,000 petugas media yang telah mendaftar akan menerima vaksin. Seharusnya beliau lebih tegas dan pantas dalam hal ini, namun beliau jelas telah gagal.
Sebagai penyelesaian segera, saya cadang agar satu PPV di setiap negeri dikhususkan untuk segera memberi vaksin kepada semua petugas media yang berdaftar di negeri itu. Dengan cara ini, kesemua 5,000 petugas media boleh diberi vaksin dalam masa sehari.
Fahmi Fadzil
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya
Ahli Parlimen Lembah Pantai