Carian
July 16, 2021

KEADILAN Labuan Ucap Terima Kasih Kepada Baris Hadapan Di Labuan

Parti Keadilan Rakyat Labuan menzahirkan rasa bangga dan terima kasih terhadap jasa dan pengorbanan para petugas barisan hadapan di Labuan khususnya Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Pengorbanan petugas barisan hadapan tidak ternilai harganya, usaha gigih semua petugas barisan hadapan dalam mendepani penularan wabak Covid-19 wajar dipuji dan dihargai. Mereka bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, malah semua frontliner juga komited dalam melaksanakan tugas mereka hanya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap penduduk di Labuan sejak Virus Covid-19 ini melanda Labuan.

Langkah kesihatan awam dan vaksinasi telah berjaya menurunkan kes di Labuan serta menunjukkan penurunan yang ketara dalam masa tempoh dua minggu. Semalam hanya 26 kes positif yang direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 9,331 kes. Vaksinasi di Labuan juga telah mencapai 87 peratus vaksinasi dos pertama dan 52 peratus yang lengkap dua dos.

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pelbagai cabaran yang dihadapi terutama aktiviti ekonomi harian masyarakat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19. PKR Labuan menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak membuka sektor ekonomi dan industri terlalu awal di Labuan seperti yang disarankan oleh Jabatan Kesihatan W.P Labuan berikutan kejayaan yang telah dicapai mendepani Varian Delta. Sebagai langkah membantu rakyat Labuan, Kerajaan harus menyalurkan bantuan keperluan dengan segera kepada semua golongan tanpa mengira agama dan bangsa terutama B40 dan M40.

Kerajaan pusat juga harus memberi perhatian serius tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di Labuan memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini, yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik Covid-19.

Parti Keadilan Rakyat Labuan berharap agar penduduk di Labuan terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard ( SOP ) yang telah ditetapkan bagi memastikan Program Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memerangi Covid-19 berjalan dengan lancar.

SIMSUDIN BIN SIDEK
Ketua Cabang
Parti Keadilan Rakyat Labuan

Related Posts
crossmenuchevron-up