Kami ingin menzahirkan kerisauan mengenai keadaan terkini pendidikan anak-anak di seluruh negara yang terjejas akibat wabak Covid-19. Pendidikan perlu dilihat dalam kerangka yang holistik dan bukan hanya berpaksikan peperiksaan dan silibus matapelajaran semata-mata.
Pendidikan perlu dilihat sebagai usaha bersepadu untuk perkembangan dan kemenjadian murid yang menyeluruh. Kami mengambil maklum bahwa di kala wabak Covid-19, anak-anak tidak dapat ke sekolah dan mereka terpaksa mengikuti sesi pembelajaran menerusi PdPR di samping bahan-bahan lain yang disalurkan melalui siaran TV Pendidikan (DidikTV).
Malangnya, kami dapati bahawa kandungan PdPR berdasarkan manual yang telah dikeluarkan oleh KPM, dan juga kandungan DidikTV seperti yang dapat diikuti oleh umum agak mengabaikan konsep kebudayaan, kesenian dan warisan. Hal ini amat tidak sihat bagi perkembangan murid di dalam usaha kita membina kemenjadian murid yang komprehensif dan bersepadu walaupun di kala wabak melanda.
Hakikat yang menyedihkan ialah para pelajar kita kurang pendedahan kepada seni budaya dan tradisi pelbagai warisan masyarakat berbilang bangsa dan suku di Malaysia. Pendidikan kita juga agak kurang menitik beratkan isu ini, apatah lagi di kala wabak melanda, di mana pembelajaran masih dilihat di dalam kerangka norma biasa, tanpa mengambil peduli perihal keperluan jiwa dan minda anak-anak kepada unsur seni budaya dan warisan.
Hakikatnya, mereka yang tidak menghargai seni budaya masing-masing adalah seumpama individu yang tidak mempunyai jiwa, ibarat kata artis seni ukir dari Inggeris yang terkenal, Henry Moore: “The soul cannot thrive in the absence of art.”
Pendidikan mestilah bersifat konstruktif, dan dalam kita membina generasi yang mempunyai kewarasan fikiran, pendedahan kepada seni dan budaya serta warisan negara boleh membentuk perpaduan bangsa, kerohanian jiwa, kesopanan dan kesusilaan demi kesejahteraan sosial.
Berdasarkan keadaan terkini, kami mencadangkan:
1) Jalinan kolaborasi beberapa kementerian (Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Sains dan Inovasi, dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia) bagi mewujudkan bahan pembelajaran yang lebih menarik, dengan menggunakan pembangunan video interaktif berteraskan teknologi digital seperti animasi, teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
2) Kerajaan menggunakan bakat artis-artis dalam bidang teknologi kreatif (creative technologies) yang mampu mengadakan bahan berkualiti berkaitan kesenian, kebudayaan dan warisan yang menarik berdasarkan subjek yang diajar disekolah untuk dipaparkan di Didik TV, ataupun dikongsikan lewat pelantar DELIMA milik Kementerian Pendidikan Malaysia.
3) Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kerap mengadakan Facebook Live bagi megenalkan beberapa artifak yang dipamirkan di muzium2 negara kita, dan juga JKKN pula mengenai seni budaya beberapa tempat dalam negara. Bahan-bahan yang telah dihasilkan oleh kedua-dua buah jabatan ini jika digabung dengan subjek sejarah akan dapat menghasilkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk dikongsikan di saluran-saluran televisyen ataupun pelantar pembelajaran milik KPM sebagai bahan pelajaran bukan hanya sekadar sewaktu PKP, malah untuk kegunaan pembelajaran selamanya.
YB Dr Maszlee Malik (MP Simpang Renggam, mantan Menteri Pendidikan)
YB Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (MP Balik Pulau, mantan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya)