Carian
July 9, 2021

Tuntutan Agar KPT Menurunkan Yuran Para Pelajar di IPTA/S Di Kala Wabak Melanda

Pihak Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum isu tuntutan dari para siswa untuk Universiti Awam (UA) menurunkan kadar yuran yang dikenakan ke atas mereka kerana kemelut ekonomi yang melanda negara kini sepanjang tempoh pemulihan COVID-19 dan PKP. Isu ini walaupun tidak disensasikan oleh media-media arus perdana, namun ianya melibatkan kepentingan lebih 500,000 pelajar IPTA di seluruh negara.

JKPPH juga mengambil maklum beberapa siri pertemuan telah diadakan di antara wakil pelajar dengan pihak pentadbir universiti mereka, dan yang terkini pertemuan mereka dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara tersebut.

JKPPH bersetuju dengan tuntutan dari para siswa agar pihak UA menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan sewaktu kebanyakan pelajar menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran mereka secara dalam talian.

JKPPH juga mengambil maklum tuntutan oleh para siswa dari institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) agar yuran mereka juga diturunkan di dalam keadaan mereka terpaksa belajar secara dalam talian sepanjang wabak melanda. Walau bagaimanapun JKPPH juga cakna terhadap survival IPTS yang kebanyakannya dilanda krisis sepanjang wabak melanda kerana kurangnya kemasukan pelajar baharu sepanjang tempoh COVID-19, terutamanya kemasukan pelajar antarabangsa yang majoritinya merupakan punca pendapatan kepada IPTS tempatan.

JKPPH sedar bahawa pihak kerajaan harus mengambil langkah tidak konvensional di dalam menangani krisis Pendidikan di kala wabak melanda. Keadaan yang getir dan luar biasa ini memerlukan pendekatan yang tidak konvensional di dalam memastikan proses Pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada Pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi akan terus lestari kendatipun wabak yang melanda.

Berhubung isu ini, JKPPH menggesa agar pihak KPT:

1)Menurunkan yuran di Universiti Awam (UA) selaras dengan tuntutan para siswa, dan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda.

2)Menyalurkan lebih banyak geran-geran untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur digital di kesemua 20 UA demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan oleh kesemua UA demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran para siswa dan para pensyarah.

3)Bagi pihak IPTS pula, kerajaan perlu mengimbangkan di antara kelangsungan pengurusan pihak IPTS yang terbabit dan juga kemaslahatan para pelajar. Maka dicadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang belajar di IPTS yang memungkinkan pihak IPTS membuat penurunan yuran yang dikenakan ke atas mereka.

4)JKPPH juga mencadangkan agar pengecualian cukai ke atas IPTS juga boleh dilakukan berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar yang memerlukan, dan juga berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada para pelajar tempatan.
YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN)
YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)
YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)
YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP)
YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up