1. Saya merujuk kepada beberapa laporan media yang melaporkan kes-kes jangkitan covid 19 di rumah-rumah jagaan warga emas dan ini termasuk jangkitan di pusat-pusat rawatan termasuk pusat dialsis.
2. Menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 21 kluster membabitkan Pusat jagaan Warga Emas dikesan setakat ini dengan 19 daripadanya adalah dalam gelombang ketiga pandemik Covid- 19 yang melanda Negara pada bulan Oktober, 2020 yang lepas. Lebih menggusarkan, kadar kematian membabitkan kluster jagaan warga emas lebih tinggi dengan jumlah 1.48% berbanding kadar kematian kebangsaan yang merekodkan 0.38%.
3. Apa yang lebih membimbangkan juga adalah status pusat jagaan warga emas ini yang tidak berdaftar dan jangkitan akibat covid 19 ini benar-benar mengancam nyawa mereka termasuk membawa kematian penghuni sebagaimana yang dilaporkan.
4. Oleh yang demikian, KPWKM digesa untuk segera mengemukakan data terkini berkaitan rumah-rumah jagaan yang berdaftar dan telah menerima vaksin serta menyiasat segera keadaan penghuni warga emas di rumah jagaan yang tidak berdaftar khususnya dalam konteks pendaftaran dan keutamaan pemberian vaksin.
5. Kami juga menggesa agar semua Ahli Parlimen bersama dengan pemimpin komuniti setempat menjalankan siasatan dan mengenalpasti dengan segera pusat-pusat jagaan warga emas yang tidak berdaftar serta berada dalam kedaan yang kritikal kerana berpotensi dijangkiti dan tidak mendapat perhatian dengan sewajarnya.
6. Wanita KEADILAN dalam siaran-siaran media sebelum ini telah menggesa agar tumpuan diberikan kepada pengurusan pemberian vaksin kepada warga emas khususnya dalam konteks prioriti, logistik dan prosedur yang lebih mudah.
7. Kegagalan KPWKM dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mengutamakan pemberian vaksin kepada penghuni institusi penjagaan Warga Emas akan menyebabkan diskriminasi berterusan kepada golongan rentan ini serta peningkatan kematian kerana kegagalan polisi dalam unjuran keutamaan, perlindungan di institusi jagaan yang tidak berdaftar dan prosedur yang menyusahkan warga emas untuk pendaftaran.
Fadhlina Sidek
Pengerusi Biro Guaman & Pembangunan Komuniti
Wanita KEADILAN