Carian
June 6, 2022

Data Peribadi Terus Dicuri, Akta 709 Perlu Dipinda Pada Sidang Parlimen Julai Ini

Dalam tempoh masa 5 tahun kebelakangan ini, dianggarkan lebih 100 juta set data peribadi (seperti nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor MyKad dan pelbagai maklumat peribadi yang lain) di Malaysia dipercayai dicuri dari syarikat-syarikat atau badan-badan di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian (rujuk ‘Garis Masa’ di bawah).

Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan media, cuma satu kes kecurian data peribadi berprofil tinggi telah dibawa ke mahkamah sehingga hari ini, iaitu kes melibatkan 30 juta data peribadi pelanggan Malindo Air (https://www.malindoair.com/.../Malindo-Air-Pleads-Not...).
Kes-kes kecurian berprofil tinggi melibatkan lebih 70 juta data peribadi yang lain sama ada masih belum dibawa ke mahkamah, atau hasil siasatan/tindakan Kementerian atau agensi bertanggungjawab tidak diketahui umum.

Keadaan ini tidak baik untuk rakyat mahupun ekonomi Malaysia.

Ke mana perginya semua data yang telah dicuri ini? Mengapa kecurian data masih kerap berlaku? Adakah data peribadi yang dicuri ini disalah guna penjenayah bagi tujuan penipuan (scam) atau aktiviti jenayah lain? Hal ini amat merisaukan.

Pada 12 Februari 2020, Menteri Komunikasi dan Multimedia pada ketika itu (Gobind Singh Deo) telah memaklumkan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) akan dikaji semula. Namun setelah berlakunya Langkah Sheraton serta bertukarnya Menteri-Menteri Komunikasi dan Multimedia, status kajian semula serta cadangan-cadangan pindaan terhadap Akta 709 masih belum diketahui umum.

Memandangkan kejadian kecurian data peribadi belum dapat dihentikan (yang terbaharu berlaku pada hujung Mei lalu), saya menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi memberi penjelasan segera berhubung status kajian semula Akta 709 serta langkah-langkah yang telah diambil bagi menjamin keselamatan data peribadi rakyat Malaysia, termasuk data peribadi yang disimpan atau dikendali agensi-agensi Kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu menggunakan peluang sidang Parlimen bermula 18 Julai nanti untuk membentangkan pindaan kepada Akta 709.

InshaAllah saya juga akan membawa satu Rang Undang-Undang Persendirian bagi tujuan meminda Akta 709 pada sidang Parlimen yang sama.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN

-

GARIS MASA KEJADIAN KECURIAN/KEBOCORAN DATA PERIBADI DI MALAYSIA
- 31 Oktober 2017: 46.2 juta data peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi telah dicuri (https://www.thestar.com.my/.../msia-sees-biggest-mobile.../)
- 6 Jun 2018: 60,000 data peribadi pengguna Astro IPTV dicuri (https://www.malaysiakini.com/news/428520)
- 23 Ogos 2019: 0.2% data peribadi pelanggan Astro (dianggarkan hampir 50,000 orang) dicuri (https://themalaysianreserve.com/.../astro-hit-by-2nd.../)
- 18 September 2019: 30 juta data peribadi pelanggan Malindo Air dicuri (https://www.channelnewsasia.com/.../malindo-lion-air...)
- 10 Oktober 2019: kebocoran data rekod perubatan 20,000 pesakit (https://codeblue.galencentre.org/.../malaysia-patient.../)
- 28 September 2021: 4 juta data JPN, LHDN didakwa bocor (https://www.astroawani.com/.../lhdn-nafi-4-juta-data...)
- 18 Mei 2022: 22 juta data JPN, SPR didakwa dijual (https://www.hmetro.com.my/.../data-peribadi-22-juta...)
- 31 Mei 2022: 2,000 fail PIKAS di bawah MITI yang mungkin mengandungi lebih 1 juta data peribadi didakwa dicuri (https://codeblue.galencentre.org/.../miti-site-allegedly.../)

Related Posts
crossmenuchevron-up