Carian
September 15, 2022

JAMINAN KEBEBASAN AKHBAR PERDANA MENTERI BERCANGGAH TINDAKAN PENDAKWAAN DAN CAMPUR TANGAN POLITIK

Semalam, Perdana Menteri DS Ismail Sabri Yaakob telah dilapor media sebagai memberi jaminan berhubung kebebasan akhbar.

Walaupun jaminan tersebut diterima baik, namun realitinya indah khabar dari rupa.

Beberapa hari lalu, kita membaca mengenai pelantikan Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baharu, yang didakwa pelbagai pihak termasuk tokoh wartawan telah dibuat atas campur tangan politik.

Ini satu perkara yang amat dikesali, dan Pakatan Harapan mengambil pendirian bahawa parti-parti politik tidak patut mencampuri urusan organisasi media terutama seperti yang kita saksikan ini. Ia adalah petanda tidak baik terhadap tanggapan kebebasan pelaporan serta agenda politik organisasi media tersebut kelak.

Kami juga kesal dengan tindakan pihak Kerajaan melalui Timbalan Pendakwa Raya yang telah mendakwa dua pengamal media dari akhbar The Edge di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu jenayah fitnah.

Dakwaan ini berkait siri artikel yang diterbit The Edge berhubung jual beli saham murah (penny stock) yang dipercayai dimanipulasi pihak-pihak tertentu di Bursa Malaysia.

Kami menuntut Kerajaan untuk menarik balik dakwaan jenayah ini, dan jika pihak-pihak yang terkesan punyai keinginan mereka boleh memfailkan saman sivil terhadap media tersebut.

Media memainkan peranan yang amat penting terutama dalam usaha semak imbang dan menjamin ketelusan urustadbir, termasuk dalam bidang ekonomi.

Oleh itu, jaminan Perdana Menteri ini perlu dizahirkan bukan sahaja di bibir, tetapi melalui tindakan-tindakan yang selaras dengan jaminan tersebut.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan
Ketua Penerangan KEADILAN

Khalid Samad
Pengarah Komunikasi AMANAH

Teo Nie Ching
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Joisin Romut
Ketua Penerangan UPKO

Related Posts
crossmenuchevron-up