Carian
May 29, 2021

KEADILAN Gesa Segera Benarkan Pengamal Perubatan Am Swasta Terlibat Dalam Program Pemberian Vaksin

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan pada hari secara atas talian. Salah satu isu utama yang dibincangkan adalah berkait pelaksanaan penutupan penuh (total lockdown) semua sektor ekonomi dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19, serta kegagalan Kerajaan Pusat melaksana langkah-langkah sepatutnya walaupun ia mempunyai kuasa darurat.

Oleh itu, MPP KEADILAN mengambil pendirian-pendirian seperti berikut:

1. Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan perolehan vaksin agar lebih ramai rakyat Malaysia boleh dilindungi dari wabak COVID-19 dan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal. Kadar perolehan sedia ada adalah amat tidak memuaskan dan mesti ditambahbaik secepat mungkin.

2. Kerajaan Persekutuan perlu segera melulus dan membenarkan Kerajaan-Kerajaan Negeri membuat perolehan vaksin serta melaksana program pemberian vaksin bagi meningkatkan kadar vaksinasi negeri tersebut. Sebagai contoh, berdasarkan data dari JKJAV sehingga 28 Mei 2021, jumlah penerima vaksin dos pertama di Selangor hanyalah 7.7% dari jumlah yang mendaftar, iaitu kadar terendah di antara semua negeri. Keadaan ini perlu diperbetul segera dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, bukan dengan Kerajaan Persekutuan memonopoli segala usaha perolehan dan pemberian vaksin.

3. Klinik-klinik serta 7,000 pengamal perubatan am swasta perlu diberi kebenaran segera, tanpa proses tambahan yang panjang atau rumit, untuk turut terlibat dalam program pemberian vaksin. Kerajaan Persekutuan mesti menggembleng seluruh kekuatan masyarakat (whole of society approach) dengan mempermudah penglibatan lebih banyak pihak, bukan dengan meletakkan syarat atau proses yang memakan masa terlalu lama.

4. Kerajaan Persekutuan perlu segera mengumumkan siri bantuan untuk rakyat, khususnya golongan B40, M40, serta sektor-sektor ekonomi termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terjejas akibat penutupan penuh (full lockdown) bermula 1 Jun ini. Ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat amnya dan pekerja khususnya dijamin, manakala perusahaan dan perniagaan turut dilindungi.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up