Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) telah mengadakan mesyuarat pada 24 Mac 2024, Ahad, bagi membincangkan beberapa perkara terkait perkembangan terkini parti dan beberapa isu semasa di dalam negara.
MPP juga telah meluluskan penganjuran Konvensyen Khas 25 Tahun KEADILAN yang akan diadakan pada 28 April 2024 bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam dengan tumpuan kepada perancangan dan perkongsian halatuju parti.
Mesyuarat juga memutuskan untuk mengadakan Malam Sambutan 25 Tahun KEADILAN pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot sepanjang hari dengan acara kemuncaknya Ucapan Amanat Presiden pada sebelah malam.
Selain itu, MPP juga telah membincangkan isu-isu nasional termasuk isu stokin yang tertera nama Allah. MPP berpendapat bahawa sebarang usaha penghinaan terhadap kesucian Islam sebagai agama rasmi negara adalah satu kesalahan besar dan bertentangan dengan perundangan negara. MPP mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan seumpama ini dan meminta agar pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman ke atas pelakunya jika terbukti bersalah.
MPP juga berpendapat penghinaan terhadap mana-mana agama seumpamanya juga adalah satu kesalahan juga dan menyalahi undang-undang. Perbuatan seumpama itu hanya akan merobek keutuhan harmoni dan mahabbah yang menjadi tonggak kehidupan bersama aman damai rakyat Malaysia.
Dalam pada pihak berwajib menjalankan siasatan dan akan mengenakan hukuman, MPP berpendapat adalah tidak wajar mana-mana pihak menangguk di air yang keruh dan merosakkan lagi keadaan. Segala tindakan kita harus berdasarkan undang-undang dan perlembagaan dan bukannya tindakan berdasarkan emosi dan amarah tanpa kawalan hukum perundangan.
MPP meminta agar semua pihak menjaga kesucian bulan Ramadan yang mulia ini dan menjadikan apa yang berlaku sebagai satu sempadan yang wajib dielakkan daripada berlaku di masa hadapan.
Fahmi Fadzil
Ketua Penerangan KEADILAN