Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN telah bermesyuarat pada hari ini dan memutuskan perkara-perkara seperti berikut:
KEADILAN merakamkan ucapan takziah buat lebih 131,000 mangsa bencana banjir yang melanda 9 negeri setakat hari ini. Pimpinan bersetuju agar anggota Cabang-Cabang KEADILAN dikerah untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir, termasuk untuk pembersihan pasca banjir kelak.
Pimpinan turut membincangkan isu kes-kes buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang semakin menggusarkan dan menarik perhatian mutakhir ini. KEADILAN mencadangkan agar beberapa perkara dasar diteliti segera, termasuk kempen kesedaran buli dilaksana secara menyeluruh.
Menyedari bahawa isu banjir dijangka berterusan, pimpinan telah memutuskan bahawa Kongres Nasional KEADILAN 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumum kemudian. Pada masa yang sama, satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid pada tarikh yang akan diumum oleh Setiausaha Agung KEADILAN nanti.
Fahmi Fadzil
Ketua Penerangan KEADILAN 30 November 2024