Carian
April 21, 2021

Malaysia Menjunam 18 Anak Tangga Indeks Kebebasan Media Dunia

Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 yang diterbit Reporters Without Borders (RSF) hari ini menunjukkan Malaysia telah jatuh 18 anak tangga ke kedudukan 119, iaitu lebih teruk dari Guatemala (116), Gabon (117) dan Congo-Brazzaville (118) tetapi lebih baik sedikit berbanding Nigeria (120), Nicaragua (121) dan Afghanistan (122). Ini juga merupakan kemerosotan paling buruk di antara 180 negara yang dipantau RSF.

Ini adalah satu lagi ‘kejayaan’ Kerajaan Perikatan Nasional. Tahniah saya ucapkan khusus buat Menteri Komunikasi dan Multimedia di atas ‘kejayaan’ yang amat ‘membanggakan’ ini.

Namun begitu, ini sememangnya bukan satu pencapaian yang baik atau patut dibanggakan negara kita. Media yang terkongkong dan takut pada pemerintah mewujudkan suasana yang tidak baik, terutama apabila pemerintah salah guna kuasa, rasuah dan tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Media yang tunduk sudah pasti hanya akan mengiakan kebobrokan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah.

Oleh itu, kita wajib perbaiki keadaan. Apabila negara kita berlandaskan hukum (rule of law), amalan demokrasinya sihat, dan medianya berani lagi bebas, maka rakyat yang merupakan pembayar cukai sudah pasti akan menyaksikan pentadbiran yang adil dan baik. Bukan sahaja itu, malah pelabur antarabangsa juga akan yakin dan bersedia melabur di Malaysia. Ini akan menghidupkan semula ekonomi kita yang kian lesu.

Maka empat langkah mesti diambil segera bagi memulihkan kebebasan media kita:

Pertama: Wujudkan Majlis Media yang bebas
Kerajaan perlu segera meneruskan semula perbincangan dengan jawatankuasa sementara bagi penubuhan Majlis Media Malaysia, dan memberi komitmen bila Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia akan dibentang di Parlimen. Majlis Media yang bebas dan ditadbir sendiri oleh pengamal media amat diperlukan untuk memastikan media mampu memainkan peranan pelapor berita yang berani kerana benar.

Kedua: Mansuhkan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkenaan berita palsu
Ordinan Darurat ini perlu dimansuhkan kerana ia bukan sahaja menghidupkan semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan Parlimen pada Oktober 2019, tetapi ordinan tersebut pada ketika ini membuka ruang terlalu luas kepada Kerajaan untuk mentafsirkan apa berita yang benar dan apa yang tidak, selain denda dan hukuman yang sukar diterima.

Ketiga: Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta pinda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Dua Akta ini sering diguna untuk menekan penerbit akhbar dan portal berita dalam talian. Oleh itu, pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pemindaan Akta Komunikasi dan Multimedia amat diperlukan untuk menyelaras undang-undang tersebut dengan semangat memperkukuh fungsi media sesuai dengan peredaran zaman, tanpa menjejas keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Keempat: Perdana Menteri perlu segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen
Parlimen sebagai institusi demokrasi terulung negara memainkan peranan penting sebagai tempat masalah rakyat didengari, dan di mana pentadbiran kerajaan diteliti dalam proses semak imbang. Parlimen yang mampu berfungsi dengan baik akan menambahkan keyakinan rakyat malah juga masyarakat antarabangsa bahawa negara kita diurus dengan baik.

Oleh itu, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin mesti segera menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, terutama setelah Tuanku memberi titah nasihat bahawa Parlimen boleh bersidang tatkala Darurat berkuatkuasa.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya

Related Posts
crossmenuchevron-up