Carian
July 7, 2022

MPP KEADILAN Menerima Keputusan Rasmi Pemilihan 2022

Majlis Pimpinan Pusat telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan beberapa perkara berhubung Pemilihan 2022 dan Kongres Nasional ke-16.

Berhubung Pemilihan 2022, MPP telah meneliti laporan Jawatankuasa Pemilihan Parti, pembekal perkhidmatan yang membangunkan aplikasi ADIL serta firma audit forensik yang dilantik JPP.

MPP ikut merakamkan penghargaan terhadap peranan JPP dalam mengendalikan Pemilihan 2022.

Pada masa yang sama, MPP mengambil maklum sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP. MPP menerima jaminan bahawa JPP akan menyelesaikan aduan dan memberikan maklumbalas bertulis kepada semua yang mengemukakan aduan. MPP turut menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

MPP turut diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022.

Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh. Walaupun begitu, firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut. MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil.

Oleh yang demikian, MPP dengan ini menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 yang telah diumum JPP.

Berhubung Kongres KEADILAN ke-16, tarikh asal bagi Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 24 Jun serta Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun telah diubah untuk memberi ruang serta masa yang secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik untuk menyelesaikan aduan-aduan yang diterima dan tidak sama sekali bertujuan melengahkan pengumuman keputusan Pemilihan.

Maka MPP memutuskan bahawa Kongres Wanita dan AMK akan diteruskan pada 15 Julai dan Kongres Nasional pada 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam. Kesemua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal.

Kongres KEADILAN ke-16 ini akan menyaksikan saf kepimpinan baharu mengambil alih tampuk kepimpinan parti, seterusnya menggariskan dasar serta halatuju parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up