Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini.
Berhubung perjalanan Pemilihan 2022, MPP memberi peringatan tegas kepada semua calon yang bertanding, para penyokong dan anggota KEADILAN amnya agar sentiasa menjaga tata tertib dan disiplin terutama sepanjang tempoh berkempen sehingga selesai proses pengundian pada 22hb Mei. Rakyat sedang memerhati dan menilai perilaku para calon dan penyokong, manakala musuh politik sudah pasti bersedia mengambil peluang dan kesempatan untuk menyerang parti dan pimpinan.
Oleh itu, kempen Pemilihan 2022 ini harus dilaksanakan dalam semangat keluarga besar KEADILAN dengan mengetepikan serangan peribadi di samping mengetengahkan idea-idea serta pandangan-pandangan yang mampu membina semula dan memacu parti jauh ke hadapan. Selesai pemilihan, seluruh kekuatan pimpinan serta anggota akan digarap, dikumpul dan disusun atur bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
MPP turut mengambil maklum acara Debat Perdana di antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Sri Najib Razak mengenai Sapura Energy serta isu-isu lain yang akan diadakan pada 12hb Mei nanti, dan berharap ia akan dijalankan seperti yang telah diumumkan.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN