Carian
May 26, 2021

Siasatan Isu Suntikan Vaksin AstraZeneca Kurang Dos Perlu Bebas

Saya mengambil maklum kenyataan YB Menteri Kesihatan pada 24 Mei lalu. Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak memadai.

Parlimen khususnya Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu memastikan bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Accounts Committee, PAC) boleh berfungsi semula serta merta, walaupun Parlimen belum bersidang. YB Menteri Kesihatan serta semua yang terlibat di dalam kontroversi pemberian vaksin AstraZeneca pada dos kurang dari yang sepatutnya wajib dipanggil untuk memberi penjelasan.

Adalah tidak memadai sekiranya hanya siasatan dalaman yang dilakukan. Siasatan tersebut mesti bersifat bebas dengan pakar-pakar dari luar serta rentas parti untuk memastikan tidak berlaku sebarang perkara untuk mengelak pertanggungjawaban. Ini boleh dilakukan dengan mengaktifkan semula PAC.
Jika tidak pun, sebaiknya siasatan tidak dilakukan oleh atau melibatkan mereka yang terlibat secara terus dalam program pemberian vaksin AstraZeneca.
Saya juga berpandangan soalan-soalan berikut mesti dijawab siasatan tersebut:

1. Berapakah jumlah penerima vaksin yang telah terkesan akibat pemberian dos yang kurang ini?

2. Berapakah jumlah penyuntik yang telah memberi dos AstraZeneca yang salah?

3. Mengapakah penyuntik-penyuntik ini telah memberikan dos AstraZeneca yang salah?

4. Apakah yang telah dan akan dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengenalpasti serta menghubungi semua penerima vaksin yang telah diberi dos AstraZeneca yang salah?

5. Berapa ramai yang telah diberi dos tambahan untuk melengkapkan dos AstraZeneca?

6. Siapa yang akan dipertanggungjawab di atas kontroversi ini? Apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka?

7. Mengapa sehingga kini tiada permohonan maaf dari mana-mana pihak, terutama Menteri Kesihatan, kepada semua penerima vaksin AstraZeneca yang telah diberi dos salah?
Laporan siasatan ini perlu diumumkan agar rakyat Malaysia terutama pembayar cukai (yang membolehkan pembelian serta pemberian vaksin ini berlaku) dapat memahami apa yang telah terjadi serta cara terbaik untuk mengelak ianya dari berulang.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Related Posts
crossmenuchevron-up