
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah membentangkan belanjawan paling signifikan dalam sejarah negara dengan mengutamakan kebertanggungjawaban moral yang diimbangi dengan tanggungjawab fiskal sekaligus mencerminkan nilai MADANI seperti ihsan, kemampanan, dan kesejahteraan rakyat.
Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM510 bilion, Belanjawan Persekutuan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ bertujuan sebagai penangkis kepada cabaran sara hidup yang dihadapi rakyat di saat sebahagian besar dunia berhadapan dengan krisis bekalan akibat Perang Asia Barat yang masih tiada tanda-tanda pendamaian.
Misalnya, peruntukan RM72.9 bilion bagi subsidi kepada rakyat termasuk BUDI95, BUDI Diesel serta peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah merefleksikan komitmen berterusan Kerajaan supaya rakyat dibantu dan tidak terjatuh dalam kepompong kemiskinan.
Pada masa yang sama, peruntukan sebanyak RM47.7 billion bagi sektor kesihatan dan RM69 billion untuk pendidikan, masing-masing dengan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion dan RM2.8 bilion, akan mengukuhkan perkhidmatan asas kepada rakyat serta melindungi keperluan petugas kesihatan dan komuniti pendidik.
Martabat pekerja turut diangkat dengan peningkatan gaji minima peringkat nasional daripada RM1,700 sebulan kepada RM2,000 sebulan serta kerangka pendapatan baharu termasuk gaji minima pekerja separa mahir serta graduan sebanyak RM2,500 sebulan.
Dasar ini akan membangun sebuah masyarakat yang berkeyakinan serta membina daya tahan individu dan keluarga supaya tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan untuk menikmati hidup yang lebih selesa.
Dengan penyediaan asas yang kukuh, Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik Waad Nasional untuk meningkatkan potensi syarikat perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan pinjaman serta pembiayaan yang meningkat kepada RM57 bilion.
Hal ini kerana PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan mewakili 39.7% daripada keseluruhan syarikat di Malaysia. Selain itu, tekad dasar baharu seperti RUU Entiti Milik Kerajaan, Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia serta tekad menjadikan umum maklumat semua projek dan perolehan Kerajaan menjamin bahawa proses islah terus mekar dan mampu meningkatkan keyakinan rakyat serta perniagaan terhadap tatakelola pengurusan negara.
Kerajaan Negeri Selangor turut menerima positif kesepakatan menangani isu banjir kilat dengan peruntukan RM100 juta bagi meluaskan Empangan Batu dan Klang Gate serta kolam takungan supaya mengurangkan keresahan rakyat.
Tambahan kepada itu, pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang serta komitmen kerjasama membangunkan potensi industri semikonduktor antara Kerajaan Negeri serta Khazanah amat dialu-alukan atas potensi mengembangkan industri buatan tempatan.
Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan supaya segala ikhtiar yang direncanakan dapat dilaksanakan sebaiknya bagi manfaat rakyat Selangor dan Malaysia supaya Belanjawan ini mencapai hasrat‘Menggapai di Langat, Mengakar di Bumi’.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR