March 19, 2026

Kenaikan BUDI MADANI Legakan Rakyat, Namun Perluasan Subsidi Diesel Wajar Dipertimbang

Saya mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan bantuan BUDI MADANI daripada RM200 kepada RM300 sebulan sebagai usaha meringankan beban rakyat yang bergantung kepada kenderaan diesel.

Namun begitu, dalam keadaan semasa yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik serantau, kenaikan harga bahan api yang berterusan terus memberi tekanan besar kepada ekonomi domestik, khususnya kepada sektor-sektor yang masih belum diliputi di bawah mekanisme subsidi sedia ada.

Bagi minggu ini, harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat mendadak sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter berbanding RM3.92 sebelumnya.

Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada sektor-sektor utama seperti logistik, pembinaan, pembuatan, pertanian dan perikanan. Peningkatan kos operasi dalam sektor-sektor ini bukan sahaja menekan pengusaha, malah berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Hakikatnya, banyak industri penting seperti pembinaan, perikanan (bot kategori C2), jentera pertanian dan kren amat bergantung kepada diesel, namun masih tidak diliputi di bawah sistem subsidi sedia ada.

Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan agar mempertimbangkan langkah intervensi jangka pendek yang lebih bersasar dengan memperluaskan akses subsidi diesel kepada sektor swasta dan perusahaan yang sebelum ini tidak tersenarai dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya dalam tempoh kenaikan harga yang mendadak ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga disaran melaksanakan mekanisme Variation of Price (VOP) bagi membolehkan kontraktor menyesuaikan harga kontrak selaras dengan turun naik kos bahan api. Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan.

Bagi jangka masa panjang, pendekatan yang lebih mampan perlu diberi perhatian melalui penyediaan insentif seperti pelepasan atau potongan cukai, bagi menggalakkan syarikat beralih kepada teknologi yang lebih cekap tenaga serta mengurangkan kebergantungan kepada diesel.

Natijahnya, usaha merasionalisasikan subsidi perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penambahbaikan yang seimbang antara kelangsungan perniagaan, kesejahteraan rakyat dan disiplin fiskal sektor awam, agar ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam persekitaran yang mencabar.

Chan Chun Kuang
ADUN Semambu, Pahang
19/3/2026

Related Posts
crossmenuchevron-up