
27 Januari 2026 | Petaling Jaya
Merujuk kepada kenyataan Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) mengenai kebajikan penunggang P-Hailing, saya mengambil perhatian serius terhadap situasi yang dihadapi golongan ini.
Para penunggang merupakan tulang belakang ekonomi gig negara, dan sebarang ketidakseimbangan struktur bayaran, termasuk isu lantai harga, memberi kesan langsung kepada pendapatan serta kebajikan mereka.
Saya sentiasa empati terhadap cabaran yang dihadapi para penunggang, dan komitmen saya adalah untuk mencari penyelesaian yang adil dan mampan.
Dalam usaha ini, saya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), YB Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, pemain industri platform penghantaran, wakil penunggang, dan para penghantar.
Beberapa langkah praktikal yang boleh dicadangkan termasuk penggabungan beberapa penghantaran dalam satu perjalanan, penetapan titik pengambilan dan penghantaran yang lebih efisien, serta penggunaan teknologi dan algoritma platform yang lebih telus dan adil, bagi memastikan kebajikan
penunggang terus terjaga.
Saya juga melihat isu ini dalam konteks lebih luas termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat, peningkatan peluang pekerjaan, dan pembangunan pekerjaan bernilai tinggi. Selaras dengan agenda Kerajaan MADANI
di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan untuk merancakkan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Langkah jangka sederhana dan panjang turut merangkumi peluang bagi penunggang untuk menceburi keusahawanan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling), supaya mereka dapat mengeksplorasi perniagaan, sektor teknikal, atau pekerjaan yang lebih stabil dan berpendapatan tinggi.
Saya akan terus mendengar suara para penunggang, memahami cabaran mereka, dan berusaha mencari penyelesaian yang praktikal serta mampan. Empati dan keprihatinan terhadap kebajikan penunggang serta isu lantai harga bukan sahaja nilai, tetapi asas kepada pembinaan ekosistem ekonomi gig yang adil, seimbang, dan mampan.
Bryan Ng Yih Miin
Timbalan Setiausaha Agong
Parti Keadilan Rakyat