
Wanita KEADILAN Pusat menyambut baik pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.
Dengan penguatkuasaan akta ini, Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan sistem perlindungan sosial menyeluruh secara berkanun bagi tenaga kerja gig.
Kini, pekerja gig lebih terlindung dan terjamin apabila syarikat platform berkongsi tanggungjawab mencarum bersama. Bagi sektor yang belum diwajibkan, kerajaan menyediakan subsidi sebanyak 70% bagi caruman kali pertama dan 50% bagi pembaharuan tahun kedua, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Caruman ini meliputi perlindungan terhadap kecederaan atau kemalangan kerja;
Kematian atau hilang upaya kekal; elaun pemulihan dan penggantian pendapatan.
Langkah ini memperkukuh kerangka sosial untuk lebih 1.2 juta pekerja gig, termasuk ramai wanita dan ibu tunggal, melalui Skim LINDUNG Kendiri serta akses kepada Tribunal Pekerja Gig sebagai mekanisme perlindungan undang-undang.
Reformasi sektor tidak formal ini menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kesejahteraan dan maruah insan, di samping memupuk pembangunan inklusif dan berdaya saing.
Wanita KEADILAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia di bawah pimpinan YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, dan menegaskan komitmen untuk terus mendukung dasar-dasar Kerajaan MADANI bagi menjamin maruah dan kebajikan kaum pekerja.
Datuk Ginie Lim
Ketua Penerangan
Wanita KEADILAN Pusat
1 April 2026