
Wanita KEADILAN menegaskan bahawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar terus disokong bagi penggal seterusnya demi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Usaha ini penting untuk membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah, demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.
Wanita KEADILAN menyambut baik pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI tahun ini, khususnya agenda reformasi institusi yang ditekankan oleh Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Tahun Baharu 2026.
Cadangan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal merupakan langkah berani dan bertanggungjawab ke arah membentuk budaya politik baharu yang telus, progresif, dan demokratik demi kemajuan negara.
Tekad politik Perdana Menteri untuk menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, setelah puluhan tahun berjuang di medan pembangkang, membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan semasa memegang kuasa, bukan selepas kehilangan kuasa.
Dalam tempoh tiga tahun kepimpinan Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi, dan menjaga kebajikan rakyat. Wanita KEADILAN yakin, dengan pelaksanaan reformasi institusi yang berterusan, rakyat akan terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh kepada usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuhkan jentera kerajaan agar lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi Madani
Ginie Lim
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat