Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor dengan penuh takzimnya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9. Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan. Selepas selesai Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam, dengan ini KEADILAN Selangor menuntut supaya golongan kleptokrat dan kluster mahkamah yang menyokong kerajaan tetapi terpalit dengan dakwaan di mahkamah tidak dilindungi oleh mana-mana pihak serta dibicarakan dengan adil dan saksama.
Sebagai contoh, 4 pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama serta 47 pertuduhan membabitkan salah guna dana sebuah yayasan. Kedua-dua individu berprofil tinggi ini serta mana-mana ahli parlimen yang menyokong kerajaan dan menghadapi sebarang pertuduhan di mahkamah perlu dibicarakan dengan adil dan saksama tanpa campurtangan cabang eksekutif.
KEADILAN Selangor turut mendesak supaya pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan semula ke atas kes video intim yang memaparkan seorang individu yang menyerupai seorang ahli parlimen dari blok kerajaan dan tidak melengahkan siasatan kes seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik ahli parlimen tersebut.
Selari dengan pendirian Pakatan Harapan, KEADILAN Selangor konsisten bahawa Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang sebenarnya paling layak diangkat selaku Perdana Menteri. Namun, dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tempohari, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat & kleptokrat. KEADILAN Selangor berpegang teguh dengan pendirian, seharusnya mandat rakyat pada PRU14 dikembalikan kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat pada 9 Mei 2018 iaitu Pakatan Harapan. Namun kemenangan tersebut telah dirampas oleh golongan pengkhianat & kleptokrat.
Kepada gabungan pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi dan kami percaya gabungan Pakatan Harapan Plus bersama Pejuang dan Warisan sebenarnya semakin kuat dan bersedia untuk menghadapi PRU15. Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak COVID-19 dan ekonomi segera diatasi demi rakyat serta apabila keadaan sudah stabil, kita siap untuk bertempur bagi mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU15.
YB Halimey bin Abu Bakar
Ketua Penerangan
KEADILAN SELANGOR