Parti KEADILAN Rakyat ( KEADILAN ) Selangor menganggap kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu boleh diibaratkan seperti meludah ke langit.
Adalah sangat jijik untuk seorang Perdana Menteri yang sibuk memotong kek ketika rakyat sedang menyabung nyawa dan merayu minta diselamatkan kerana air yang naik begitu pantas ketika tragedi banjir melanda beberapa negeri khususnya negeri Selangor bulan lalu mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Itu belum lagi perangai jelik Menteri dan ahli parlimen kerajaan yang sibuk ke majlis makan malam perhimpunan UMNO ketika banjir melanda.
Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan? Adakah semata-mata hadir berbaju melayu dan berada di bilik selesa berpenghawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?
Jauh berbeza dengan Ahli Parlimen Pembangkang seperti Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turun seawal pagi 18 Disember, kelibat Ismail Sabri hanya dilihat pada 19 Disember. Itupun setelah mengumumkan kehadirannya kepada media sehari sebelum melakukan lawatan di sekitar kawasan klang berdasarkan sebaran melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau juga mengatakan tidak nampak Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan negeri Selangor pada waktu malam ketika banjir melanda. Bagaimana mungkin beliau nampak kerana beliau hanya turun melakukan gimik membersihkan kawasan yang terkesan setelah banjir surut berbanding Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan Negeri Selangor yang berada sejak dari awal bersama penduduk.
Menteri Besar Selangor saudara Amirudin Shari misalnya turun sejak awal meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap. Walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan pusat tidak kunjung tiba namun beliau menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri. Berbeza pula dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang boleh keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun sekadar melalukan gimik bodoh mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan Rina Harun.
Kritikan Ismail terhadap kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan yang beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara. Mengapa aset kerajaan pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda negeri Selangor? Adakah beliau lupa bahawa saudara Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021? Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan UMNO?
Kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah cukup mendedahkan betapa lemahnya Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail berikutan kenyataan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad Latiff di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.
Disebabkan tindakan NADMA yang lambat dan hambar daripada ketika menangani bencana banjir besar di Lembah Klang Jumaat lepas, pihak ATM terpaksa “melupakan” agensi bencana itu dan berusaha sendiri untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terkandas. NADMA yang dipertanggungjawab untuk mengkoordinasi usaha ketika negara dilanda bencana seperti banjir telah gagal bertindak pantas.
KEADILAN Selangor ingin mengingatkan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan bahawa nyawa rakyat yang terkorban akibat banjir tidak mungkin mampu dikembalikan semula, namun kegagalan Kerajaan Gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mengurus bencana akan dikenang selamanya oleh rakyat Malaysia.
Halimey Abu Bakar
Ketua Penerangan