Ahli Parlimen Pasir Gudang (Keadilan/PH)
Soalan No.1 : Adakah Pakatan Harapan (PH) telah menyerah kalah kepada kerajaan Ismail Sabri Yaakob apabila menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan?
Jawapan No.1 : Tidak. PH tidak menyerah kalah. PH tetap memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di dalam Parlimen dan di luar Parlimen.
Soalan No.2 : Benarkah PH tidak lagi memainkan peranan sebagai pemantau kepada Kerajaan dalam melakukan semak dan imbang?
Jawapan No.2 : Tidak benar anggapan itu. Malah di dalam Memorandum Persefahaman itu disebut secara bertulis tugas dan peranan PH sebagai Pembangkang untuk melaksanakan tugas semak dan imbang.
Soalan No. 3: Tidakkah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut PH telah dianggap mengiktiraf Kerajaan Ismail Sabri Yaakob?
Jawapan No.3: Isu mengiktiraf Kerajaan sekarang tidak berbangkit. Ismail Sabri Yaakob telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong secara sah. Jemaah Menterinya juga telah dibentuk secara sah. Kerajaannya sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
Soalan No. 4: Adakah PH tidak berminat lagi untuk membawa usul Undi Percaya atau Undi Tak Percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat?
Jawapan No.4: PH tidak berhasrat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri. Kerajaan yang patut membawa Usul Percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos 2021 di Istana Negara di hadapan ketua-ketua semua parti politik.
Soalan No.5 : Adakah benar tujuan Perdana Menteri Ismail Sabri menandatangani Memorandum Persefahaman ini untuk mempastikan Kerajaan pimpinanya tidak tumbang di Parlimen?
Jawapan No.5 : Saya percaya itu adalah satu daripada banyak sebab.
Soalan No.6 : Kenapa PH tidak berusaha lagi untuk mendapatkan semula mandat rakyat untuk menjadi kerajaan sebelum Pilihanraya Umum ke-15?
Jawapan No. 6 : Pilihanraya umum Ke-15, tidak lama lagi. Ada baiknya masa sekarang kedua-dua pihak, parti pembangkang dan parti kerajaan tumpukan kepada dua perkara utama, iaitu melawan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.
Soalan No.7 : Apa kesan penting dari Memorandum Persefahaman yang ditandatangani itu dari segi ketenteraman dan kestabilan politik?
Jawapan No.7 : Di persetujui di dalam Memorandum Persefahaman tersebut bahawa PRU-15 tidak akan diadakan sebelum 31 Julai 2022. Ini membawa makna terdapat keadaan yang pasti dan tempoh bertenang. Di pihak kerajaan boleh tumpukan kerja-kerja mentadbir negara untuk melawan pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Soalan No. 8: Apa pentingnya tempoh 31 Julai 2022 itu kepada PH?
Jawapan No.8: Dalam tempoh 10 bulan itu, adalah masa yang cukup untuk Kerajaan melaksanakan kebanyakan terma-terma yang telah dipersetujui di dalam Memorandum tersebut. PH akan turut memantau perlaksanaan Memorandum tersebut. Kejujuran dan kesungguhkan Kerajaan akan dapat diukur dan dilihat dalam tempoh tersebut.
Soalan No.9 : Adakah tempoh terakhir persefahaman itu pada 31 Julai 2022?
Jawapan No.9: Tempoh itu untuk menwujudkan satu tempoh yang memberi kepastian bahawa tidak ada pilihanraya umum diisytiharkan dengan mengejut. Parlimen tidak dibubarkan oleh Perdana Menteri sesuka hatinya sebelum 31 Julai 2022.
Soalan No.10: Apa pendirian PH jika Perdana Menteri Ismail Sabri berhasrat kerajaannya terus mentadbir sehingga tempoh penuh Parlimen Ke-14 ini hingga tahun 2023?
Jawapan No.10 : Hak kuasa prerogative Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran parlimen dan mengadakan pilihanraya tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak akan diganggu oleh PH. PH hanya mahukan kepastian seperti yang telah dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman bahawa PRU-15 hendaklah diadakan selepas 31 Julai 2022. Jika Perdana Menteri Ismail Sabri mahu mengadakan PRU-15 pada tahun 2023 misalnya, PH tidak ada halangan. Tidak ada bantahan.
( Nota: Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya, sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Pakatan Harapan. Segala kelemahan, kekurangan, kurang tepat mahupun kesilapan adalah tanggungjawab saya sendiri)