Carian
April 12, 2021

Isu Klip Audio Dari Perspektif Undang-undang

Amat menarik Isu Klip Video yang dikatakan percakapan telefon beberapa minit antara Presiden Umno, Zahid Hamidi dengan Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim. Isu yang kecil ini mempunyai pengertian dan implikasi yang besar termasuklah persoalan undang-undang.

Secara jujur, saya telah mendengar klip audio itu hanya sekali. Saya tidak ada credential atau tauliah kepakaran untuk mengesahkan adakah klip audio itu tulen, sahih dan benar. Justeru itu, saya ingin mengulas perkara ini dari perspektif undang-undang.

Saya teringat, lebih 13 tahun yang lalu pernah ada suatu kes dan kontroversi sehingga ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dakwaan wujudnya klip audio percakapan telefon antara seorang peguam kanan dengan bekas Ketua Hakim Negara. Terdapat verbatim pembelaan yang amat menarik dari peguam tersebut, iaitu: “ Suara itu macam saya, tetapi itu bukan saya,”.

Dalam Negara Demokrasi, adakah rakyat tidak ada privacy? Ini perkara penting yang ingin saya hujahkan. Hanya di dalam sebuah negara diperintah diktator dan punya Polis ala-Gestapo yang akan melakukan pengintipan perbualan dan percakapan telefon musuh-musuh politiknya dan rakyat jelata amnya. Misalnya apa yang berlaku di zaman Nazi Hitler di Jerman dan di zaman diktator Joseph Stalin di Soviet Union. Adakah Malaysia kini di bawah kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin sudah sampai ke peringkat yang sama seperti itu?

Sekiranya, klip audio Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim itu tulen dan benar, bukan Zahid dan Anwar yang perlu disiasat. Yang berbuat jenayah dan wajib disiasat ialah orang yang melakukan pengintipan percakapan telefon Zahid dan Anwar itu. Siapa orang itu? Adakah individu biasa atau sebuah agensi kerajaan? Apa kuasa undang-undang yang membenarkan pihak-pihak tertentu melakukan pengintipan percakapaan telefon kedua orang presiden parti politik yang sah di negara ini? Inilah terma rujukan yang patut diikut oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya siasatan hendak dilakukan.

Apa jadi kalau Klip Audio percakapan Zahid dan Anwar itu palsu dan sengaja direka-reka? Ini adalah perbuatan yang jelas bersifat jenayah. Polis wajib siasat. Siapa yang mereka-reka klip video itu? Apa tujuan mereka? Apa kesan pendedahan klip video yang palsu itu? Adakah ia menimbulkan kegusaran dan kegentaran awam? Kalau jawapannya ya, maka perbuatan itu suatu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Adakah Zahid dan Anwar perlu membuat laporan polis? Zahid dan Anwar adalah mangsa di dalam konspirasi ini, sama ada klip video itu benar ataupun palsu. Mangsa kepada perbuatan jahat orang lain boleh membuat aduan polis, tetapi tidak semestinya wajib mereka membuat laporan polis. Laporan polis dari segi undang-undang hendalah dibuat secara sukarela bukannya dipaksa.

Pernah berlaku lebih 23 tahun lalu, seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia di zaman Perdana Menteri Keempat, telah membuat laporan polis melalui pegawainya tentang wujudnya buku yang sarat memfitnahnya dengan 50 Dalil mengapa Timbalan Perdana Menteri itu tidak boleh jadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku? Bukannya pihak yang menulis, menerbit, mencetak dan mengedarkan buku fitnah 50 dalil itu disiasat, sebaliknya diri Timbalan Perdana Menteri itu pula yang jadi mangsa siasatan, kemudian dituduh di mahkamah, dipukul separuh mati di dalam lokap polis sehingga lebam matanya, kemudian dijatuhkan hukuman 6 tahun dan merengkok di dalam penjara. Mungkin Zahid dan Anwar yang hidup pada zaman itu masih ingat akan episod mata lebam itu.

Adakah Zahid dan Anwar wajib membela diri mereka dan membuktikan klip video itu bukan percakapan telefon antara mereka berdua? Dari perspektif undang-undang beban pembuktian tidak terletak ke atas Zahid dan Anwar. Mereka berdua adalah mangsa konspirasi pihak ketiga. Pihak yang patut membuktikan kesahihan klip video itu ialah pihak yang menuduh klip video itu sesungguhnya rakaman percakapan Zahid dan Anwar.

Siapa sekarang yang beria-ia sangat menuduh Klip Video itu adalah benar dan autentik? Dari pembacaan saya terdapat sekurang-kurangnya tiga orang Menteri di bawah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin yang telah mendakwa secara terbuka bahawa klip video itu sah, tulen dan autentik. Mereka yang telah mengumumkan kesahihan klip video itu semacam pakar-pakar audio berlesen ialah menteri-menteri bernama Anuar Musa, Zuraidah Kamarudin dan Azmin Ali. Manakala Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin juga telah membuat beberapa kenyataan sebagai menteri dalam isu ini.

Nampaknya beban sekarang terletak pada Kerajaan Muhyiddin Yassin untuk membuktikan klip video Zahid dan Anwar itu adalah benar, sahih dan autentik.

Alang-alang hendak lakukan siasatan, maka sebagai seorang ahli parlimen, saya meminta Kerajaan Muhyiddin Yassin dengan Menteri Kanannya Azmin Ali supaya menyiasat sekali isu Klip Video tentang salahlaku dua orang di dalam sebuah hotel di Sabah yang jelas telah melakukan kesalahan jenayah seks songsang di bawah Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Syarie supaya kes Video itu dibuka semula.

Video itu, di mana seorang pelakunya telah mengakui kesahihannya, yang pihak Peguam Negara kemudian telah akui video itu adalah sah, tulen dan benar, tetapi gambar tidak jelas, hendaklah kes itu di buka semula untuk disemak dan dihantar ke pihak forensik, mungkin telah ada sekarang yang boleh memeriksa dengan sejelas-jelas gambar dalam video itu.Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memikul tanggungjawab menyelesaikan siasatan kes video seks songsang ini.

Tuntutan saya ini penting, sesuai dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan setiap warga negara Malaysia yang membabitkan rakyatnya sama ada rakyat itu bernama Zahid, Anwar ataupun individu-individu dalam Video atas ranjang di Hotel Sabah itu.

Hassan Abdul Karim

Related Posts
crossmenuchevron-up