Carian
September 4, 2021

100 Hari Pertama KPI KKM

Terlebih dahulu Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan ingin mengucapkan tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin di atas pelantikan sebagai Menteri Kesihatan Malaysia yang ke-23 baru-baru ini. Lantikan beliau ini datang tepat pada masanya terutama dalam mengetuai Agenda Kesihatan Kebangsaan Malaysia diwaktu pandemik.

Kami berharap lantikan ini akan memberi pencetus yang bertindak sebagai “RESET” dalam pengurusan Covid-19 negara secara “Pendekatan Penggemblengan Nasional”, termasuk dalam menangani isu-isu yang rumit dan aspek-aspek yang pelbagai dalam sistem kesihatan Malaysia samada berjangka masa pendek atau panjang.

Pendekatan “RESET” terhadap Covid-19 ini hendaklah berdasarkan bukti serta fokus kepada perkara-perkara asas pengawalan penyakit berjangkit berpandukan kepada kejadian serta pengalaman sebenar dan kepakaran semua rakyat Malaysia.

Ini termasuk pelaburan penting dalam mengukuhkan kapasiti kesihatan awam dalam implimentasi strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan vaksinasi (V), yang harus dijalankan secara bersama dan bukannya berasingan.

Selari dengan ucapan Perdana Menteri baru Dato Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru supaya setiap Kementerian membuktikan pencapaian dalam masa 100 hari, kami mencadangkan 10 Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketara untuk mengukur keberkesanan strategi FTTIS+V yang diambil oleh Kementerian dalam menguruskan kes-kes Covid-19, kematian, kapasiti hospital dan sebagainya.

Parameter-parameter ini adalah matriks yang boleh dikira dan boleh digunapakai untuk menilai Prestasi Kementerian Kesihatan pada bulan-bulan yang akan datang dalam mengurus pandemik Covid-19.

1. CARI – Integrasi teknologi dan penambahbaikan keberkesanan sistem pengesan automatik, seperti sistem HIDE sekarang yang digunakan untuk meramal kawasan panas sekurang-kurangnya 14 hari ke hadapan. Ini dapat dicapai melalui intervensi dan pengamalan SOP yang sesuai dan seterusnya boleh mengurangkan kawasan-kawasan panas baru yang ketara (~70%).

2. UJI – Strategi Pengujian Kebangsaan dalam memastikan kadar ujian kebangsaan berada dibawah 5% melalui penambahgunaan RTK Ag dalam komuniti. Pihak Kementerian haruslah meluaskan sasaran dengan kadar 250 ribu ujian sehari sehingga kadar yang bergejala positif dapat diturunkan di seluruh negara dalam jangka masa yang ditentukan.

3. KESAN – Menambahbaikan kapasiti kontak kesan digital MySejahtera agar dapat mengesan sekurang-kurangnya 80% kontak rapat dalam masa 24 jam. Pencapaian ini dapat mengurangkan “kes-kes sporadik” di dalam komuniti secara ketara.

4. ASING – Mengurangkan masa pengasingan dan kemasukan kepada kurang dari 24 jam dari waktu dikesan. Ini termasuk menyediakan mekanisme untuk pengasingan ataupun pantas mengeluarkan “Arahan Pengawasan di Rumah” secara digital kepada profile pengguna MySejahtera dalam masa 24 jam selepas dikesan.

5. SOKONG – Kerajaan harus membekalkan “Kit Penjagaan Kendiri” termasuk oximeter, thermometer dan kit ujian sendiri terutamanya bagi komuniti B40 dan M40. Sokongan fiskal untuk golongan B40 dan komuniti pendapatan rendah yang berada dalam kuarantin juga digalakkan. Ini termasuk juga penggabungan Gabungan Nasional Kesihatan Mental dengan komuniti yang paling rapat dengan Sokongan Sosial Psaikologi dan Kesihatan Mental (MHPSS).

6. Mengurangkan kadar kejadian kepada bawah 55 per 100 ribu dan menambah kajian genomik kepada lebih dari 2% supaya dapat mengawalselia perubahan virus kepada varian-varian baru. Dengan car aini kita dapat memahami bagaimana ianya memberi impak terhadap kesihatan dan komuniti.

7. Mengurangkan Kes Kadar Kematian (CFR) dari sekitar 0.94% kepada 0.5% dan mengurangkan jumlah Dibawa Masuk Mati (BID) dari 22% kini sehingga kurang dari 10%.

8. Mencapai Penghunian Katil Hospital kepada bawah 70% dan katil ICU Covid-19 kepada bawah 50% di seluruh negara serta servis kesihatan tanpa gangguan untuk kes-kes Covid-19.

9. Liputan vaksinasi lengkap sebanyak 80% di seluruh negara dan pelan dos penggalak untuk individu berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, barisan hadapan dan pesakit berkomorbiditi.

10. Ketelusan dan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular Covid-19 melalui GitHub bagi sesuatu daerah atau mukim. Ini termasuk juga kerjasama yang lebih baik dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam pengurusan Covid-19.

Dalam masa 100 hari akan datang, 10 asas KPI ini akan menentukan penanda aras dalam menangani Covid-19. Ia bukan sahaja akan memperluaskan liputan vaksin, tetapi akan mengawal virus ini dari merebak dan menyah keluar sebarang kluster tersembunyi didalam sesebuah komuniti. Barulah strategi endemik jangka panjang boleh diwujudkan setelah asas kesihatan awam dipatuhi dan kapasiti penjagaan kesihatan diperkuatkan. Semua ini boleh dicapai melalui kerjasama yang lebih kukuh dan terbuka dengan semua pihak terbabit di dalam sektor swasta, akademik, NGO dan juga pihak pembangkang.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan :-
a)YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)
b)YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, KEADILAN)
c)YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi, DAP)
d)YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Ahli Parlimen Lumut, AMANAH)
e)Dr Kelvin Yil (Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP)
f)YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru, KEADILAN)
g) YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang, DAP)
h)YB Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kerajaan Negeri Selangor)
i)YB Dr Norlela Ariffin (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
j)YB Veerapan Supramaniam (Exco Kerajaan Negeri Sembilan)
k)Ybhg Dr Niekmah Adam (AWAN, AMANAH)
l)Ybhg Dr Zaliha Mustafa (MPP, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up