Carian
September 26, 2022

ADAKAH PIMPINAN UMNO JOHOR MAHUKAN PILIHANRAYA SEWAKTU MUSIM BANJIR?

Warga Johor Bahru awal pagi semalam telah dikejutkan dengan hujan yang sangat lebat sehingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di 10 kawasan serta di jalan-jalan utama.

Sementara daerah Johor Bahru merangkumi 5 buah Parlimen (Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Tebrau), kejadian banjir turut berlaku di daerah Pontian dan daerah Muar yang menyebabkan ada mangsa-mangsa yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Saya difahamkan penduduk di enam buah kampung di sekitar Kayu Ara Pasong, Pontian melaporkan bahawa kejadian banjir kilat semalam antara terburuk yang pernah mereka alami sejak 30 tahun lalu.

Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa peralihan monsun hanya akan berlaku pada bulan Oktober dan Monsun Timur Laut pada November, kejadian seperti banjir kilat semalam memberi gambaran bahawa negara dan juga setiap negeri termasuk Johor (bukan hanya sekadar negeri-negeri di Pantai Timur) perlu membuat persiapan sebaiknya menghadapi kemungkinan bencana dan keadaan luar jangka hujung tahun ini.

Mengambil kira kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa tarikh pilihanraya akan bergantung kepada mesyuarat UMNO pada 30 September 2022, adakah pemimpin UMNO dari negeri Johor seperti Dato’ Seri Khaled Nordin, Naib Presiden dan YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agong merangkap Ahli Parlimen Pontian akan menyatakan pendirian secara terbuka mewakili penduduk Johor yang terkesan dengan kejadian banjir untuk menangguhkan hasrat Presidennya mengadakan pilihanraya tahun ini?

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Pengarah Strategi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up