Carian
August 19, 2021

Akmal:Tumpu Soal Rakyat

Saya telah kemukakan 15 soalan secara bertulis kepada Parlimen sebelum tarikh tutup petang tadi, seperti yang dipinta oleh Setiausaha Dewan bagi tujuan sesi soal jawab untuk persidangan yang sepatutnya bermula pada 6 September 2021.

Soalan-soalan yang dikemukakan berteraskan kepada 3 krisis utama iaitu krisis kesihatan, krisis kepimpinan (soal integriti, perbelanjaan negara) serta krisis ekonomi (pekerjaan, pemulihan pendapatan rakyat).

Turut dibawa ke sidang Parlimen akan datang beberapa permasalahan berkaitan nasib anak muda serta mahasiswa dan soalan khusus berkaitan isu-isu rumah mampu milik termasuklah rumah PR1MA seperti yang telah AMK perjuangkan sebelum ini.

Saya menyeru agar seluruh ahli Parlimen dapat menggunakan sesi Parlimen bulan depan untuk menumpukan sepenuhnya usaha dan tenaga bagi menangani nasib dan permasalahan rakyat yang telah terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Saya berharap krisis politik yang telah berlarutan ini akan sampai ke titik penguhujungya minggu ini. Seterusnya, pihak kerajaan dan pembangkang perlu segera menjalin kerjasama dan persefahaman yang baik bagi memastikan soal kesihatan dan ekonomi rakyat tidak terus terpinggir.

Semoga kita semua dapat melangkaui isu politik dan tumpukan kepada permasalahan rakyat jelata insyaAllah.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up