AMK Mengecam Kematian A. Ganapathy Dalam Tahanan Polis

AMK Mengecam Kematian A. Ganapathy Dalam Tahanan Polis

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia terkilan dengan berita kematian zalim A. Ganapathy, seorang warganegara lelaki Malaysia berumur 40 tahun, dalam tahanan polis.

Mendiang Ganapathy ditahan polis dari 24/2/2021-8/3/2021, di bawah suatu perintah reman 13 hari olehmahkamah, bagi membantu siasatan berkenaan jenayah yang kononnya dilakukan oleh abang beliau.

Namun, pada 7/3/2021, Ganapathy telahpun didapati tidak terlibat dalam sebarang salah laku. Pada 8/3/2021, Ganapathy, yang sememangnya menghidapi penyakit kencing manis & juga penyakit jantung, telah dikejarkan ke Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Selayang dalam keadaan kritikal, dengan kaki beliau lebam dan berdarah. Ibu Ganapathy, S. Thanaletchumy, telah menyatakan dalam wawancara baru-baru ini bahawa Ganapathy mendakwa telah dipukul dengan hos getah & diheret di atas jalan berturap semasa berkaki ayam.

Pada 20/4/2021, setelah bertarung nyawa selama lebih sebulan, Ganapathy akhirnya menghembuskan nafas terakhir beliau.

AMK Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kezaliman tak berperikemanusiaan sebegini yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis. Kami mendapati bahawa kematian dalam tahanan polis di Malaysia seolah-olah menggambarkan diskriminasi layanan terhadap golongan lelaki berbangsa India.

Satu kajian Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganggarkan bahawa hampir 55% mangsa kematian dalam tahanan polis di Malaysia adalah warganegara berbangsa India. Ini suatu statistik yang mengejutkan, memandangkan etnik India cuma merangkumi sekitar 7% dari jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Statistik rasmi Kementerian Dalam Negeri pula mendapati bahawa sekitar 23.4% kessebegini melibatkan mangsa berbangsa India.

Malangnya, kematian Ganapathy ini hanyalah insiden terkini, memandangkan terdapat banyak kes kematian dalam tahanan polis sebelum ini, termasuk, antara lain, kes A. Kugan (2009) dan N. Dharmendran (2013).

Oleh yang demikian, AMK Malaysia menyokong sepenuhnya seruan NGO Eliminating Deaths in Custody Together (EDICT) supaya Jabatan Peguam Negara (JPN) memulakan siasatan terhadap kematian Ganapathy, selaras dengan kuasa-kuasa Peguam Negara di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah.

Ini akan membantu menentukan punca utama kematian Ganapathy, serta mengenalpasti pemangsa yang terlibat dalam jenayah dahsyat ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

AMK Malaysia juga mengulangi seruan kami supaya Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang semula, agar Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang terdahulu dapat dibentangkan semula, dibahaskan & diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen merentasi lantai Dewan Rakyat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

THIBAN SUBRAMANIAM
Naib Ketua AMK Malaysia

ADRIAN KUMAR VENDARGON
EXCO Biro Guaman & Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *