Carian
March 24, 2021

AMK Menjunjung Prinsip Keadilan Dalam Demokrasi, Usaha Gerrymandering Wajib Ditolak

Beberapa tindakan Kerajaan Perikatan Nasional kebelakangan ini dilihat begitu membimbangkan dan mengancam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Satu daripada tiga cabang utama negara iaitu Parlimen masih digantung dan gagal berfungsi sepertimana yang sepatutnya.

Ini membuka ruang kepada manipulasi sistem demokrasi dan pentadbiran negara yang lebih kritikal serta berpotensi menjerumuskan Malaysia kepada krisis demokrasi yang serius.

Bibit manipulasi itu semakin ketara dengan kenyataan YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin, Menteri Kabinet merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mencadangkan agar persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan sekiranya memenangi majoriti 2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Kononnya ini demi memberi keuntungan kepada Melayu-Islam.

Ini merupakan kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan. Istilah kononnya ini menguntungkan Melayu-Islam hanyalah sekadar dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya ini adalah gerrymandering bagi memberikan keuntungan politik kepada PAS dan sekutu mereka

Kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 28 Mac 2018 dan mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, lat tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula, maka persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026.

Jika diteliti hujah YB Dato' Dr. Mohd Khairuddin, agak mendukacitakan apabila PAS yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah gerrymandering yang jelas mempunyai agenda menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan begitu cepat berubah apabila peroleh kuasa dengan kini mencadangkan perkara yang sama.

Sudah pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat suatu sistem demokrasi yang telus dan adil di Malaysia selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu.

AMK Malaysia menggesa agar sebarang usaha gerrymandering ini dihentikan dan menyeru supaya Perikatan Nasional terlebih dahulu menyelesaikan UNDI18 serta menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam waktu darurat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

SYUKRI RAZAB
Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up