Carian
April 1, 2021

AMK Pertahankan Nasib Dan Hak Pembeli Rumah

PERTANYAAN BUAT YB ZURAIDA KAMARUDDIN ADAKAH MENTERI KPKT AKAN MEMBERIKAN PELEPASAN TAMBAHAN KEPADA PEMAJU PR1MA TEBRAU DARIPADA MEMBAYAR PENUH TUNTUTAN GANTI RUGI (LAD) KEPADA PEMBELI?

Berdasarkan semakan Laporan Tahunan PR1MA 2016, PR1MA Tebrau di Johor Bahru atau kini dikenali sebagai Residensi Tebrau telah dilancarkan pada 15 Januari 2015 dan maklumat pada risalah jualan menyebut pembinaan dijangka siap pada Disember 2017.

Malangnya, projek ini mengalami kelewatan dan tarikh siap ditukar berkali-kali dan kini pembeli dijanjikan penyerahan kunci pada 30 April 2021.

Setiap perjanjian jual beli hartanah yang dibeli dari pemaju hendaklah menggunakan perjanjian jual beli sebagaimana jadual yang ditetapkan dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Dalam Jadual H jelas dinyatakan bahawa pemilikan kosong rumah yang dibeli hendaklah diserahkan kepada pembeli dalam masa 36 bulan dari tarikh perjanjian.

Sekiranya terdapat kelewatan penyerahan pemilikan kosong, pemaju akan dikenakan denda ganti rugi tertentu (LAD) yang dibayar kepada pembeli sebagai pampasan bagi menanggung beban dan kerugian.

Namun Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 atau (Akta 829) yang melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 menyebut bahawa apa-apa perjanjian yang dibuat antara pembeli dengan pemaju, tempoh dari 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 hendaklah dikecualikan daripada pengiraan bagi penyerahan pemilikan kosong sekaligus pengecualian bayaran LAD.

Klausa ini seolah-olah berpihak kepada pemaju dalam keadaan pembeli juga terpaksa menanggung beban kewangan ketika tempoh tersebut iaitu bukan sekadar bayaran bank (progressive payment), tetapi juga bayaran rumah sewa rumah serta perancangan-perancangan kehidupan yang terganggu.

Malangnya, Akta ini juga kelihatan berat sebelah apabila pihak pemaju boleh memohon kepada Menteri bagi suatu pelanjutan tempoh masa atas kegagalan pemaju untuk menyerahkan pemilikan kosong.

Kuasa untuk menafikan pembeli bagi tuntutan LAD sehingga Disember 2020 terletak di tangan Menteri iaitu seksyen 35 (3) “…Menteri boleh, jika Menteri berpuas hati bahawa masa tambahan dikehendaki oleh pemaju itu untuk menyerahkan pemilikan kosong, melalui arahan bertulis memberikan kepada pemaju itu suatu tempoh pelanjutan sehingga 31 Disember 2020”

Walaupun tidak dinafikan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara, kegagalan untuk menyiapkan projek PR1MA Tebrau telah berlaku sebelum Covid-19 lagi.

Malah, tarikh siap telah ditukar berkali-kali ketika YB Menteri menjawat jawatan Menteri KPKT sejak tahun 2018.

Adakah YB Menteri hendak masih berpuas hati dengan pemaju untuk memberi pelepasan LAD atau ingin membela pembeli yang jelas teraniaya dengan kelewatan projek ini?

Saya mengharapkan YB Menteri boleh memberikan komitmen secara terbuka untuk bersama-sama bersimpati dan membela nasib serta hak pembeli rumah bermasalah, sakit dan terbengkalai.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up